Sahabat, Roti Jala dan Kenangan

nikmat persahabatan


Perjalanan hidup seringkali membawa kita ke tempat-tempat yang tidak terduga dan mengukir kenangan yang kekal dalam ingatan. Pengalaman mengajar di Gua Musang, Kelantan adalah salah satu babak yang paling berwarna dalam lembaran hidup terutamanya dapat mengenali seorang sahabat baik yang menjadi tempat untuk berkongsi suka dan duka sepanjang 6 tahun berada di Gua Musang. Terima Kasih Sahabat Terbaikku, Babo Ji. 

Pengalaman mengajar di Gua Musang bukan sekadar tentang tugas mendidik di dalam kelas, tetapi juga tentang kehidupan seharian yang sederhana namun penuh makna, yang berjalin antara kesusahan, ketenangan, dan kekayaan alam semula jadi. Ia adalah sebuah babak tentang manusia, persahabatan, dan pembelajaran di luar bilik darjah.

Hari ni min nak kongsikan pengalaman dan kenangan sepanjang 6 tahun min berada di Gua Musang. Teruskan membaca...

Ulang-alik Dari Kota Bharu  ke Gua Musang


Ritual mingguan yang paling mendefinisikan pengalaman min adalah perjalanan sejauh lebih 180 kilometer dari Kota Bharu ke Gua Musang. Memandu sendirian setiap minggu kadang-kadang mengikuti kereta Babo Ji di belakang melintasi bukit dan hutan adalah satu pengalaman yang tidak mungkin akan berulang lagi selepas min pindah di Kota Bharu.

Pemandangan hijau hutan yang menghijau, diselang-seli dengan bukit bukau yang curam dan laluan-laluan yang rosak, seolah-olah mengingatkan betapa kerdilnya diri ini di hadapan ciptaan Tuhan.

Setiap kilometer perjalanan adalah satu meditasi. Ada ketenangan mendengar desiran angin dan deruan enjin, bercampur dengan sedikit debaran memandu di laluan yang berliku, terutama ketika hujan renyai-renyai membasahi jalan raya. 


Menyusuri laluan Jeli ke Gua Musang yang dilingkari bukit-bukau, min dapat merasakan perubahan udara dan suasana. Ia bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi satu peralihan mental yang jelas dari kesibukan Kota Bharu menuju ke sebuah ‘bandar di dalam hutan’ yang penuh dengan ketenangan dan kesederhanaan hidup. Perjalanan ini mengajar min erti kesabaran, kewaspadaan, dan penghargaan terhadap keindahan alam yang dilalui.

Kepenatan ulang-alik setiap minggu tidaklah terasa apabila dapat berjumpa dengan keluarga dan ditemani sahabat min iaitu Babo Ji yang juga memandu bersama keluarganya untuk ke Gua Musang. Sedar tak sedar, sudah 6 tahun min berulang alik dari Kota Bharu ke Gua Musang.  Terima kasih sahabatku Babo Ji yang setia menemani min ulang-alik dari Kota Bharu ke Gua Musang. 

Kehidupan di Kuarters Usang


Hidup di kuarters guru adalah sebuah pengalaman yang merendahkan hati dan mengajar erti kesyukuran. Sebuah rumah kayu sederhana, dengan segala keusangan telah menjadi tempat berlindung dan berehat selama 6 tahun di Gua Musang. Syukur masih ada rezeki tempat tinggal walaupun serba kekurangan. 

6 tahun sudah boleh dianggap terlalu lama untuk singgah di sesuatu tempat, namun dengan adanya sahabat satu kepala, perjalanan hidup sepanjang 6 tahun di kuarters usang, min rasakan terlalu singkat untuk dikenangkan. Banyak memori telah dilakar sepanjang 6 tahun tersebut. 

Kehidupan sederhana di kuarters tanpa penyelenggaran membuatkan semua penghuni terpaksa berdikari untuk memotong rumput, menjaga kebersihan, membakar sampah, membaiki paip air yang tersumbat dan sebagainya. 

Min bersyukur kerana mempunyai Tok Penghulu kuarters iaitu Babo Ji yang banyak membantu dalam kerja-kerja penyelengaraan sendiri kuarters seperti memotong rumput, membaiki paip bocor dan sebagainya tanpa bayaran. Semoga usaha yang dilakukan dibalas oleh Allah SWT.

Wajah yang comot dengan tanah dan baju yang basah dengan peluh adalah pemandangan biasa bagi membaiki paip air yang tersumbat terutamanya bila tiba musim hujan. Namun, selepas berjaya, aliran air jernih yang kembali lancar terasa seperti satu kemenangan kecil yang sangat bermakna. Ia mengajar kami erti penyelesaian masalah, kerjasama, dan betapa kita harus menghargai perkara-perkara asas dalam hidup seperti air yang bersih.

babo ji



Aktiviti Petang - Berbual Sambil Minum Teh o Panas


Di sebalik segala kesederhanaan dan cabaran hidup di kuarters, ada kemewahan yang tidak terbeli iaitu kebersamaan dengan sahabat terbaik min iaitu Babo Ji dan penghuni lain sambil minum teh o panas yang disediakan oleh Kak Nor (Isteri Babo Ji). 

Masa tidaklah terasa begitu panjang apabila dapat berbual-bual dan berkongsi cerita dengan Babo Ji dan penghuni kuarters yang lain di waktu petang. Aktiviti ini adalah salah satu ubat penenang jiwa yang paling berkesan. Ia menghapuskan segala kepenatan fizikal dan mental. 

Apabila min terkenangkan memori ini, kesedihan akan menjengah di ruang fikiran min. Ini adalah kenangan manis yang tidak dapat dinilai dengan wang dan kekal melekat di sanubari. Ia mengingatkan min akan keindahan persahabatan yang ikhlas. 

Kemeriahan Bilik Guru


Bilik guru di sekolah bukan sekadar tempat menyiapkan kerja atau menyemak kertas ujian; ia adalah ‘medan’ perbualan, gelak tawa dan perkongsian yang hangat. Di sinilah min, Babo Ji dan rakan-rakan yang lain berkongsi masalah mengajar, cerita lucu tentang karenah murid-murid, buat lawak dan sebagainya. 

Suasana kekeluargaan yang terjalin erat menjadikan beban terasa ringan. Perbualan ringan sambil menikmati gelak tawa sahabat guru mampu mengubat rasa rindu dan kesepian min sepanjang berada di Gua Musang. Dengan adanya suasana ceria dan meriah, kehadiran ke sekolah tidaklah terlalu suram. 

Kenapa Min dan Babo Ji Rapat?


Min dan Babo Ji telah 6 tahun berkawan. Banyak suka duka kami kongsi bersama. Hingga ada murid mengatakan "Babo Ji adalah besti Min". 6 tahun adalah satu tempoh yang panjang, banyak aktiviti dilakukan bersama dan tidak hairan lah min dan Babo ji bergitu rapat bagaikan abang dan adik. Babo Ji juga menjadi sebahagian daripada rangkaian sokongan emosi min di sana. Bak kata pepatah Babo Ji "Dik Min Dekat Sikit Tak Rasa" 

Roti Jala, Dabong-Jeli


Tipulah kalau min katakan dalam persabahatan ini tiada perselisihan faham. Mesti ada, cuma bagaimana kita dapat mengatasinya daripada berterusan adalah sangat penting. Roti jala adalah punca perselisihan faham antara min dan Babo Ji menyebabkan kami berpecah menjadi Geng Jeli dan Geng Dabong. Lawak untuk dikenang kisah perselisihan faham ini. 

Perselisihan faham antara kami tidak lah melarat sehingga pergaduhan besar cuma kami tidak bertegur sapa sepanjang tiga hari. Selepas tiga hari tidak bertegur sapa akhirnya kami kembali bebaik semula. 

roti jala


Menumpang di rumah Babo Ji


Ketika hari pertama menjejak kaki ke Gua Musang, min menumpang di rumah Babo Ji hampir setahun sebelum kuarters berhampiran kosong. Min pindah ke kuarters kosong selepas isteri Babo Ji (Kak Nor) dapat pindah dari Mambang di Awan ke sekolah berhampiran dengan sekolah Babo Ji sekarang. Dengan itu tamatlah episod hidup PJJ Babo Ji dan keluarganya. 

Semasa menumpang di rumah Babo Ji, Babo Ji banyak mengisi waktu dengan mengajar budak-budak mengaji pada malam hari. Min seperti biasa, hanya tidur dan makan. 

Hidup PJJ dan Aktiviti Petang


Sepanjang PJJ, aktiviti min, Babo Ji dan Babo Yi di Gua Musang di waktu petang adalah lepak-lepak di gerai kampung sambil makan mee celup atau roti canai. Pada mula kami bertapak di Gua Musang, Babo Yi banyak membantu kami menunjuk arah dan suasana sekitar kampung di Gua Musang sambil mencari kedai makan yang sedap di sekitar situ.

Kadang kala kami bertiga akan ke bandar Gua Musang untuk mencari keperluan sambil makan-makan. Sebelum Ustaz Jan (Rumete Babo Yi) pindah, kami sempat makan nasi talam di Gua Musang. Selepas Babo Yi pindah, kehidupan min dan Babo Ji diteruskan seperti biasa. Tiada yang berbeza cuma kehadiran Babo Yi sudah tiada selepas dia pindah balik mengajar di Pasir Mas. Bak kata pepatah "Sempurnalah hidup, tunggu mati je". 

Redeployment Babo Ji, Kak Na, Kak Ina


Tahun 2025 min, Babo Ji dan rakan-rakan yang lain menjalani hidup di Gua Musang seperti biasa di sekolah. Tiada yang berbeza seperti tahun-tahun yang lepas. Namun di sebalik kemeriahan kami di sekolah, kami mendapat khabar berita bahawa 3 orang rakan ditukar ke sekolah berhampiran.

Terasa batu dihempak ke kepala apabila calon yang akan ditukarkan salah seorangnya adalah sahabat baik min. Kesedihan menjengah diruang fikiran min. Min terasa kehilangan apabila Babo Ji ditukarkan ke sekolah baru di daerah yang sama.

Walaupun ditukar di sekolah daerah yang sama, suasana sekolah min sangat berbeza. Tiada lagi gelak tawa sabahat terbaik min iaitu Babo Ji, Kak Na dan Kak Ina yang min anggap seperti kakak sendiri. Walaupun berat hati min untuk melepaskan, namun takdir Allah SWT telah tertulis. 

Selepas 3 orang sahabat min pindah, min terasa sangat-sangat kehilangan. Terasa bilik guru terlalu suram selepas mereka bertiga berpindah. Nasib lah masih ada rakan-rakan yang lain yang boleh menceriakan lagi suasana bilik guru walaupun tidak semeriah sebelum Babo Ji, Kak Na dan Kak Ina pindah. 

Pertukaran Min ke Kota Bharu


Min dan Babo Ji telah berjanji untuk berpindah bersama ke hilir namun perancangan kami tidak sehebat perancangan Allah SWT. Permohonan min untuk pindah ke Kota Bharu diluluskan namun permohonan Babo Ji sebaliknya. 

Selepas mendapat keputusan pertukaran diluluskan, min merasakan sangat sedih untuk berpisah dengan rakan-rakan yang lain terutamanya sabahat terbaik min iaitu Babo Ji. Apabila teringat kenangan bersama semasa di Gua Musang, ianya sangat meruntun hati min. Tiada kata yang boleh diucapkan. Walapun gembira dengan pertukaran ini, namun di hati min sangat sedih. 

Babo Ji dan Pertukaran


Walaupun Babo Ji sudah rasi dan gembira di sekolah terbaru selepas redeployment ini, min selalu berharap semoga Babo Ji dapat pindah ke sekolah di sebelah hilir. Aamiin

Semoga sahabat terbaikku dan KakNor dapat pindah mengajar di sebelah hilir pada bulan Disember ini nanti. Terima kasih untuk semua pertolongan, kenangan dan persahabatan yang ikhlas sepanjang min berada di Gua Musang. 


Penutup: Gua Musang, Sebuah Rumah Kedua


Mengajar di Gua Musang meninggalkan kesan yang mendalam kepada diri min. Ia bukan sekadar destinasi bertugas, tetapi sebuah rumah kedua yang mengajar erti kesabaran, kesederhanaan, dan kekayaan hubungan manusia serta alam sekitar. 

Ia adalah tempat di mana min belajar bahawa kebahagiaan tidak semestinya datang dari kemewahan material, tetapi dari hubungan ikhlas dengan manusia terutamanya sahabat baik min iaitu Babo Ji. 
Kenangannya, seperti batu kapur itu sendiri, kukuh dan akan terus teguh berdiri dalam ingatan, menjadi sebuah rumah yang sentiasa dirindui dalam sanubari.


pertukaran babo ji

إرسال تعليق for "Sahabat, Roti Jala dan Kenangan "