Penyebab stretch mark dalam kalangan lelaki

Stretch mark

Hello Doktor: Kerap kali, masalah stretch mark atau kesan regangan kulit sering dikaitkan dengan para wanita sahaja, lagi-lagi semasa mengandung atau selepas melahirkan anak. Namun, wujudkah stretch mark pada lelaki dan apakah sebabnya?

Terlebih dahulu, jangan risau kerana penyebab stretch mark dalam kalangan lelaki tidak memudaratkan!

Teruskan membaca artikel ini untuk mendapatkan jawapan bagi segala persoalan anda.

Apakah itu stretch mark?

Stretch mark atau istilah perubatannya striae distensiae ialah sejenis parut halus dalam bentuk jaluran dan garisan yang timbul apabila kulit meregang atau menyusut dengan mendadak.

Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang telah akil baligh. Stretch mark kerap dilihat dalam kalangan remaja kerana proses tumbesaran yang cepat.

Perubahan kulit yang mendadak menyebabkan kolagen dan elastin dalam kulit kita pecah. Kolagen dan elastin penting bagi menjaga keregangan kulit.

Semasa kulit sembuh, stretch mark akan muncul di permukaan kulit. Meskipun begitu, tidak semua orang akan mengalami keadaan ini.

Kajian mendedahkan tahap hormon juga memainkan peranan penting.

Bagaimana stretch mark berkembang

Stretch mark mempunyai dua fasa selepas wujud di permukaan kulit.

Fasa pertama adalah ketika ia masih berwarna merah atau keunguan. Dalam fasa ini, kulit akan berasa gatal sekali.

Fasa kedua muncul apabila stretch mark berubah ke warna putih, atau warna yang lebih terang daripada tona kulit. Jika anda sudah melalui fasa ini, maka susahlah untuk anda hilangkan parut tersebut.

Ia tidak memudaratkan kesihatan, tetapi ramai yang berasa malu dan rendah diri terutama sekali jika wujud stretch mark pada lelaki.

Di manakah ia boleh muncul?


Secara amnya, ia boleh muncul di mana-mana sahaja di bahagian badan anda. Walaupun begitu, bagi kaum adam pula, stretch mark kerap dilihat di bahagian :

  • bahu
  • perut
  • punggung
  • pinggul
  • paha
  • betis
Stretch mark

Penyebab stretch mark dalam kalangan lelaki

Sehingga kini, belum ada kajian yang menemukan penyebab stretch mark kepada individu.

Namun, ramai pegawai perubatan beranggapan bahawa ia boleh terjadi hasil tiga faktor sekali gus iaitu tahap hormon, regangan kulit secara fizikal dan perubahan sel-sel kulit.

Di samping itu, genetik juga memainkan peranan penting. Jika anda mempunyai ahli keluarga lain yang mempunyai stretch mark, anda berpotensi tinggi untuk mendapatkannya juga.

Penyebab lain stretch mark ialah:

1. Perubahan berat badan yang mendadak

Perubahan berat badan, sama ada kenaikan atau penurunan yang mendadak boleh menyebabkan ia terjadi. Hal ini kerana terdapat pengumpulan atau kehilangan jumlah lemak yang banyak secara drastik.

Garisan menegak selalunya boleh dijumpai di bahagian perut, pinggul dan paha.


2. Pertumbuhan drastik masa akil baligh

Semasa akil baligh, kaum adam selalunya mengalami proses pertumbuhan yang lagi cepat berbanding wanita. Perubahan yang berlaku kepada tubuh badan boleh menyebabkan stretch mark berlaku.

Ia selalu ada di bahagian lengan, paha, pinggul dan punggung lelaki.

3. Membina badan

Ketika mengangkat berat, otot akan berkembang dengan lebih cepat dan menyebabkan stretch mark. Selalunya, ia boleh dijumpai di bahagian otot yang selalu dibentuk seperti tepi dada, bahu ataupun paha.

4. Penyakit adrenal

Pesakit adrenal seperti sindrom Cushing, sindrom Ehler-Danlos dan sindrom Marfan kerap ada stretch mark sebagai salah satu tanda penyakit mereka.

Gangguan terhadap kalenjar adrenal menyebabkan perlepasan kortikosteroid yang berlebihan dalam tubuh.

Kortikosteroid memberi kesan terhadap sel-sel kulit kerana ia mampu mengawal pembentukan kolagen. Jika jumlah kortikosteroid terlampau tinggi, pembentukan kolagen akan menjadi lebih sedikit dalam badan.

Kekurangan kolagen boleh menyebabkan kulit kurang anjal dan stretch mark boleh berlaku dengan senang.

5. Penggunaan krim kortikosteroid berpanjangan

Selalunya, krim kortikosteroid seperti hidrokortison digunakan oleh pesakit ekzema. Namun, penggunaan krim kortikosteroid yang berpanjangan boleh menyebabkan pembentukan stretch mark di kawasan yang disapu krim.

Konklusi

Normal jika kaum Adam mempunyai stretch mark.

Walaupun begitu, kalau anda berasa segan dan rendah diri, boleh cuba sapu minyak vitamin E, mentega koko atau minyak badam pada bahagian badan yang terkena stretch mark.

Anda juga boleh berjumpa dengan pakar dermatologi untuk rawatan yang lebih lanjut.

Maklumat lanjut sila layari Hello Doktor

Penafian: Artikel ini berasal dari website Hello Doktor. Pihak kami telah mendapat kebenaran untuk menerbitkan artikel ini di blog iMaskulin. Untuk info kesihatan yang lain, sila layari website Hello Doktor
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url