Format Baharu PT3 Mulai Tahun 2019


Format Baharu Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). Format Baharu Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mulai tahun ini memperkenalkan semula soalan objektif bagi semua mata pelajaran membabitkan objektif aneka pilihan (OAP) dan juga objektif pelbagai bentuk (OPB).

Baca Item Contoh PT3 Format Baharu 2019

PT3 yang diperkenalkan pada tahun 2014 membuka lembaran baharu apabila tiada lagi soalan objektif dalam ujian bertulis bagi semua mata pelajaran, sebaliknya menampilkan soalan subjektif 100 peratus.

Bagaimanapun, berdasarkan Surat Siaran Lembaga Peperiksaan yang dikeluarkan hujung tahun lalu, Format Instrumen PT3 yang bakal dilaksanakan mulai tahun ini menunjukkan soalan objektif kembali diuji dalam pentaksiran menengah rendah.

Dari Muka 23 Selain format penyoalan, PT3 turut menampilkan beberapa perubahan yang perlu diberi penekanan oleh setiap calon.

Perubahan yang selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) itu turut merangkumi dua mata pelajaran yang kembali diperkenalkan dalam bentuk ujian bertulis iaitu Sejarah dan Geografi.

Sebelum ini kedua-dua mata pelajaran itu hanya diuji 100 peratus berdasarkan kerja kursus, namun Format Instrumen PT3 yang diedarkan barubaru ini, menunjukkan Sejarah dan Geografi akan turut diuji secara peperiksaan bertulis yang membawa markah 80 peratus, manakala kerja kursus sebanyak 20 peratus.

Satu lagi perubahan ketara ialah mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) yang kini dikenali sebagai Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) akan dinilai menerusi ujian bertulis merangkumi OAP, OPB, subjektif respons terbuka, subjektif respons terhad dan subjektif berstruktur yang membawa markah 70 peratus, manakala kerja kursus berdasarkan amali atau projek sebanyak 30 peratus.

Beri nilai tambah

Pentaksiran kerja kursus wajar diberi tumpuan setiap pelajar kerana bukan sahaja dapat membantu calon untuk memperoleh markah tinggi dalam mata pelajaran berkenaan, tetapi juga mampu memberi nilai tambah kepada pelajar, terutama menguasai kemahiran yang diperkenalkan.

Bagi mata pelajaran teras iaitu Sains dan Matematik, calon PT3 akan diuji 100 peratus berdasarkan ujian bertulis iaitu Bahagian A dengan 20 soalan OAP yang membawa markah 20 peratus, Bahagian B iaitu lima soalan OPB (20 markah) dan Bahagian C membabitkan enam soalan subjektif (60 markah).

Mata pelajaran teras Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula akan dinilai secara ujian bertulis dan ujian lisan yang membawa kewajaran 100 peratus bagi kedua-dua ujian terbabit.

Penekanan harus diberikan kepada mata pelajaran Bahasa Melayu kerana apabila calon melangkah ke peringkat menengah atas, mata pelajaran berkenaan akan menjadi kertas wajib lulus bagi membolehkan pelajar lulus Sijil Pelajaran Malaysia.

Ujian bahasa lain

Di samping itu, calon boleh mengambil mata pelajaran bahasa lain iaitu Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Punjabi, Bahasa Iban, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Semai yang masing-masing akan diuji secara bertulis membabitkan lima bahagian berdasarkan soalan OAP, OPB, subjektif respons terhad dan terbuka.

Calon yang mengambil Pendidikan Islam, mata pelajaran itu menampilkan 100 peratus markah merangkumi lima bahagian iaitu 20 soalan OAP, dua soalan subjektif dan objektif bagi bidang alquran dan Hadis/jawi, Akidah (1 soalan subjektif dan objektif), Fikah (1 soalan subjektif dan objektif) dan Sirah, tamadun Islam serta Akhlak Islamiah (1 soalan subjektif dan objektif).

Bagi mata pelajaran Asas Sains Komputer, pelajar akan diuji berdasarkan ujian bertulis yang membawa markah 70 peratus, manakala kerja kursus menerusi amali atau projek memperuntukkan markah 30 peratus.

Mata pelajaran elektif seperti Seni Visual, Seni Tari, Seni Muzik dan Seni Teater akan menguji pelajar berdasarkan tugasan amali iaitu projek membabitkan tugasan individu dan juga secara berkumpulan.

Sumber: Berita Harian - 8 Jan 2019
Oleh Maria Uffa Zulkafeli [email protected]

Previous Post Next Post