Ubat-Ubatan Dan Rawatan Cirit Birit - #KKM

Sumber: KKM

Cirit-birit biasanya akan sembuh tanpa rawatan selepas beberapa hari, terutamanya jika ia disebabkan oleh jangkitan. Kanak-kanak yang mengalami cirit-birit biasanya akan sembuh dalam tempoh lima hingga tujuh hari dan jarang akan berterusan lebih lama daripada dua minggu.

Sementara menunggu masalah cirit-birit untuk sembuh, anda boleh mengurangkan gejala berkaitan cirit-birit ini melalui nasihat-nasihat berikut:

Minum banyak air

Adalah penting bagi anda yang mengalami masalah cirit-birit untuk minum banyak air bagi mengelakkan daripada dehidrasi. Keadaan ini bertambah serius lagi jika anda juga muntah. Minumlah air sedikit demi sedikit tetapi pada kadar yang lebih kerap.

Jus buah-buahan atau minuman bergas harus dielakkan kerana minuman seperti ini boleh menerukkan lagi masalah cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak. Jika masalah ini berlaku pada bayi dan bayi tersebut masih menyusu badan, maka susukan bayi tersebut dengan lebih kerap.

Ibu bapa perlu merujuk kepada doktor dengan segera sekiranya anak anda mengalami tanda-tanda dehidrasi yang serius seperti bibir yang kering dan menangis tanpa keluar air mata.

Menggunakan garam dehidrasi oral

Doktor atau ahli farmasi akan mengesyorkan agar mengambil garam rehidrasi oral (ORS) untuk mengelakkan atau merawat dehidrasi yang berlaku kesan daripada cirit-birit yang teruk.

Garam rehidrasi boleh dibeli tanpa preskripsi melalui premis komuniti farmasi. Garam tersebut perlu dilarutkan dalam air dan diminum untuk menggantikan garam, glukosa, dan mineral yang hilang ketika cirit-birit. Justeru, syor biasa adalah untuk minum ORS setiap kali selepas episod cirit-birit.

Makan atau minum?

Minum adalah lebih penting daripada makan semasa cirit-birit. Namun perlu mula mengambil makanan secepat yang mungkin apabila keadaan cirit-birit sudah tiada lagi untuk mengelakkan kekurangan gula dalam tubuh.

Makan makanan dalam saiz yang kecil atau mengambil makanan yang ringan dan elakkan makanan berlemak atau pedas. Jika dalam golongan kanak-kanak, sekiranya kanak-kanak tersebut tidak dalam keadaan dehidrasi, berikan mereka diet yang biasa mereka makan. Jika mereka enggan makan, teruskan memberi cecair dan tunggu sehingga selera mereka kembali. Contoh makanan sesuai adalah kentang, nasi, pisang, sup, dan sayur-sayuran rebus.

Ubat Cirit-Birit

Ubat cirit-birit boleh membantu mengurangkan dan memendekkan masa cirit-birit. Diphenoxylate dan Loperamide adalah ubat cirit-birit utama yang digunakan, kerana ia telah terbukti berkesan.

Diphenoxylate dan Loperamide melambatkan pergerakan otot dalam usus supaya lebih banyak air diserap di kawasan usus. Keadaan ini menjadikan najis yang terbentuk lebih pejal. Namun perlu diingatkan bahawa penggunaan ubat ini adalah untuk kanak-kanak berumur 2 tahun ke atas.

Ubat untuk cirit-birit ini juga boleh dibeli di premis farmasi komuniti daripada ahli farmasi tanpa preskripsi. Ahli farmasi akan memberi tahu maklumat dos yang sesuai. Untuk maklumat lanjut berkaitan ubat tersebut jangan malu untuk bertanya dengan ahli farmasi agar maklumat penting yang ingin diketahui dapat disampaikan.

Elakkan mengambil ubat-ubatan cirit-birit jika terdapat darah atau lendir dalam najis atau suhu badan tinggi (demam). Sebaliknya dalam situasi ini, perlu merujuk kepada doktor untuk mendapatkan rawatan dan nasihat selanjutnya.

Ubat tahan sakit

Sekiranya berlaku demam susulan daripada cirit-birit, anda dinasihatkan untuk merujuk kepada doktor untuk rawatan lanjut. Begitu juga tindakan yang perlu dilakukan jika berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Perlu diingatkan bahawa ubat tahan sakit tidak merawat cirit-birit, tetapi ubat seperti paracetamol atau ibuprofen boleh membantu melegakan demam dan sakit kepala sahaja.

Sentiasa membaca maklumat risalah pesakit yang datang bersama-sama dengan ubat tersebut untuk mengetahui kesesuaian dan dos yang betul terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Antibiotik

Antibiotik tidak berkesan untuk jangkitan yang melibatkan virus. Justeru, rawatan menggunakan antibiotik tidak digalakkan untuk cirit-birit jika puncanya tidak diketahui. Selain daripada itu, sesetengah antibiotik juga boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak menyenangkan.

Perlu berhati-hati dalam penggunaan antibiotik kerana ia boleh menjadi kurang berkesan merawat keadaan yang lebih serius jika berulang kali digunakan untuk merawat keadaan ringan. Justeru antibiotik boleh disyorkan jika pesakit mengalami cirit-birit yang teruk dan jenis bakteria telah dikenal pasti sebagai puncanya.

Boleh probiotik membantu?

Probiotik adalah bakteria hidup dan yis yang didapati dalam yogurt dan makanan tambahan. Terdapat beberapa bukti menunjukkan probiotik tertentu boleh memendekkan tempoh cirit-birit. Walau bagaimanapun bukti kukuh belum cukup untuk menjadikannya sebagai rawatan utama.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1 800-88-6722.

Disediakan Oleh:
Kamarudin Bin Ahmad,
Pegawai Farmasi Hospital Miri
Previous Post Next Post