Penggunaan Ubat Antibiotik Dalam Kalangan Kanak - Kanak


Penggunaan ubat antibiotik secara rasional dalam kalangan kanak-kanak

Sebilangan besar ibu bapa berpendapat antibiotik adalah rawatan yang diperlukan apabila anak-anak dijangkiti penyakit. Realitinya, antibiotik bukanlah penyelesaian kepada semua masalah kesihatan kanak-kanak kerana kebanyakannya adalah penyakit yang disebabkan oleh virus.

Contohnya batuk, sakit tekak dan selesema tidak memerlukan antibiotik sebagai pilihan rawatan kerana kebiasaannya masalah ini disebabkan oleh jangkitan virus. Antibiotik lazimnya digunakan untuk mengubati penyakit berkaitan jangkitan bakteria, maka sudah tentu ia tidak berkesan untuk penyakit yang melibatkan jangkitan kulat atau virus.

Penggunaan antibiotik secara tidak rasional tanpa penilaian daripada doktor yang bertauliah boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada tahap kesihatan kanak-kanak. Pengambilan antibiotik berspektrum luas misalnya boleh membunuh pelbagai jenis bakteria termasuklah bakteria yang memberi faedah kepada manusia (bakteria baik).

Antara kesan buruk, merangkumi gangguan fisiologi tubuh badan kanak-kanak itu sendiri seperti merencatkan sistem perkumuhan, sistem pertahanan badan dan mengambil masa yang lama untuk menggalakkan pertumbuhan semula bakteria baik di dalam usus.

Penyalahgunaan antibiotik malah boleh menyebabkan masalah lain seperti i) mengalami kesan sampingan tertentu iaitu pening, loya, muntah, cirit-birit atau perut yang tidak selesa, ii) meningkatkan risiko kerintangan antibiotik dan kemunculan bakteria kebal atau dikenali juga sebagai “superbug” dan iii) risiko mendapat penyakit lain akibat kelemahan sistem pertahanan badan.

Namun begitu, sekiranya doktor mengarahkan pengambilan antibiotik, beberapa perkara perlu diingatkan kepada para ibu bapa bagi memastikan rawatan antibiotik diambil dengan betul. Ubat antibiotik perlu diambil mengikut tempoh masa yang diarahkan oleh doktor atau ahli farmasi yang kebiasaannya perlu dihabiskan dalam tempoh 5 atau 7 hari. Teruskan pengambilan antibiotik walaupun keadaan anak semakin baik sehingga tamat tempoh rawatan yang diberikan.

Waktu pengambilan juga merupakan aspek yang penting bagi memastikan antibiotik yang diambil berkesan dengan baik. Patuhi arahan pengambilan sama ada perlu dimakan sebelum atau selepas makan kerana terdapat antibiotik tertentu yang menjadi kurang berkesan apabila berinteraksi dengan makanan.

Antibiotik juga perlu diberikan pada masa yang sama setiap hari bagi memastikan paras antibiotik optimum dalam badan untuk mengatasi jangkitan bakteria. Selain itu, ia juga boleh mengelakkan tertinggal dos akibat terlupa.

Sediaan antibiotik untuk kanak-kanak biasanya boleh didapati dalam bentuk serbuk yang perlu dilarutkan atau dibancuh dengan air kosong terlebih dahulu. Tempoh luput sediaan yang telah dicairkan ini berbeza mengikut jenama ubat dan kebiasaannya perlu disimpan di dalam peti sejuk. Sila dapatkan maklumat lanjut tentang penyediaan dan penyimpanan ubat ini daripada doktor atau ahli farmasi anda semasa menerima bekalan ubat.

Sekiranya terdapat tanda-tanda alergi seperti ruam, gatal atau reaksi alahan teruk seperti kulit melecur atau sukar bernafas dalam tempoh pengambilan antibiotik, ibu bapa perlu hentikan pengambilan ubat ini kepada anak anda dengan serta-merta dan segera bawa anak berjumpa dengan doktor untuk rawatan selanjutnya.

Sekiranya anak anda disahkan mengalami alahan terhadap antibiotik tertentu, simpan kad alahan yang diberikan atau rekod yang berkaitan alahan tersebut. Kad alahan tersebut hendaklah ditunjukkan kepada doktor yang merawat anak anda setiap kali mendapatkan rawatan supaya kejadian yang sama tidak berulang pada masa akan datang.

Elak menggunakan lebihan antibiotik atau berkongsi antibiotik anak anda dengan kanak-kanak lain walaupun mereka mempunyai simptom penyakit yang sama. Penggunaan antibiotik yang berleluasa akan menyebabkan wujudnya bakteria yang kebal dan kuat seterusnya menjadi rintang kepada antibiotik.

Situasi seperti ini akan menyebabkan antibiotik yang lebih kuat dan mahal diperlukan untuk merawat jangkitan tersebut. Kesannya, kos rawatan akan meningkat dengan mendadak saban tahun.

Kerintangan antibiotik merupakan isu global yang perlu ditangani kerana dikhuatiri kita akan ketandusan antibiotik yang berkesan pada masa hadapan. Sekiranya ia berlaku, banyak penyakit yang disebabkan bakteria tidak dapat dirawat dan risiko kematian juga mungkin meningkat.

Jika terdapat sebarang kemusykilan atau pertanyaan berkaitan penggunaan ubat-ubatan, orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat jam 8.00 pagi - 5.00 petang) untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Disediakan oleh:

Pn. Nor Samira Binti Talib dan
Pn. Ida Afdzan Binti Awang @ Rozalli
Pegawai Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url