Penjawat Awam Boleh Mohon Cuti Tanpa Rekod (Menunaikan Umrah)


KUALA LUMPUR – Penjawat awam bertaraf tetap dibenarkan memohon cuti tanpa rekod untuk menunaikan umrah maksimum selama tujuh hari iaitu sekali dalam tempoh perkhidmatan, berkuat kuasa 1 Jan depan.

Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2017 Kemudahan Cuti Umrah yang dimuat naik di laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh 11 Dis, perkiraan  tujuh hari itu  bermula dari tarikh penerbangan sebenar menunaikan ibadah umrah di tanah suci Makkah dan ziarah di Madinah.

"Sekiranya tarikh penerbangan bermula pada hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am, maka perkiraan tujuh hari akan bermula pada hari bekerja berikutnya," menurut pekeliling itu.

Cuti umrah itu tidak termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2018 pada 27 Okt lepas mengumumkan bahawa kerajaan buat julung kali bersetuju memberikan kemudahan tujuh hari cuti tanpa rekod  sepanjang  tempoh  perkhidmatan  bagi menunaikan umrah.

Menurut pekeliling itu, pegawai yang memerlukan cuti melebihi had maksimum tujuh hari itu, perlu memohon untuk menggunakan kemudahan Cuti Rehat, Cuti Rehat Khas atau Cuti Tanpa Gaji atas urusan persendirian, tertakluk pada kelayakan cuti mereka. - Bernama

Sumber: SinarHarian
Previous Post Next Post