Info Pantas? Join facebook kami Kickstory Join Now!

Simptom Penyakit Kanser Kolorektal

Kanser kolorektal adalah kanser ketiga tertinggi didiagnosis dalam kalangan lelaki dan wanita di seluruh dunia.
Admin
Kanser Kolorektal

Gambar oleh Utusan Borneo

HelloDoktor: Kanser kolorektal adalah kanser ketiga tertinggi didiagnosis dalam kalangan lelaki dan wanita di seluruh dunia.


Seperti kebanyakan barah yang lain, mereka yang mengalami kanser kolorektal pada peringkat awal tidak menunjukkan sebarang simptom.


Hal ini membuatkan proses pengesanannya pada peringkat awal menjadi sukar terutamanya jika ujian saringan tidak dilakukan secara berkala.


Bagi individu yang mengalami gejala, secara amnya, ia boleh dikategorikan kepada dua kumpulan; simptom lokal (khusus pada kolorektal) dan sistemik (menyeluruh).


Artikel ini akan membincangkan perihal simptom barah kolorektal secara terperinci supaya anda memahami proses patologi di sebalik berlakunya kanser.


Simptom lazim kanser kolorektal


Gejala yang muncul akibat kanser kolorektal tidak spesifik kepada keadaan kesihatan tersebut semata-mata.


Kebanyakan daripadanya turut dimanifestasikan dalam kes kesihatan yang lain seperti jangkitan, radang dan masalah autoimun.


Apa yang lebih parah adalah majoriti daripada individu yang didiagnosis tidak menunjukkan sebarang tanda.

Oleh sebab itu, ujian saringan perlu dilakukan seawal usia 45 (lebih awal jika terdapat faktor risiko).


Lokal


Oleh sebab simptom lokal hanya melibatkan organ kolorektal (usus besar dan rektum), ia mempengaruhi tabiat buang air besar individu.


Selain daripada itu, sakit pada bahagian abdomen turut menjadi aduan lazim dalam kalangan penghidap semasa berjumpa dengan doktor.


Antara simptom lokal yang sering dialami oleh mereka yang menghidap kanser kolorektal adalah seperti berikut.


#1 Perubahan pada tabiat buang air besar


Apabila berbicara berkenaan dengan tabiat buang air besar, tiada panduan khusus yang boleh dijadikan rujukan berkenaan dengan istilah ‘normal’.


Setiap manusia mempunyai tabiat yang unik dan perkara ini termasuklah dengan saiz najis, warna dan sebagainya.


Apa yang penting adalah anda perlu tahu apa yang normal pada tabiat buang air besar anda sendiri.


Perubahan yang menjadi fokus kepada pengambilan sejarah pesakit berkisar tentang apa yang berlainan buat anda.


Antara perubahan karakter yang boleh dialami oleh penghidap berkaitan dengan tabiat buang air besar adalah seperti berikut:


  1. Perubahan pada kekerapan. Perubahan kekerapan buang air besar berbanding dengan kadar normal merupakan salah satu tanda kanser kolorektal. Sebagai contoh jika anda selalu buang air besar 3 kali sehari dan kini hanya sekali sehari, ia merupakan satu perubahan yang signifikan. Begitu juga dengan individu yang mengalami peningkatan kekerapan membuang air besar dalam masa sehari.
  2. Bentuk najis berubah. Jika anda sedar bentuk najis anda berubah menjadi lebih kurus atau seperti pensel, ia juga boleh jadi tanda awal bagi kanser kolorektal. Perkara ini terjadi berikutan ketumbuhan yang menyebabkan ruang pada usus besar menjadi sempit.
  3. Perubahan pada warna najis. Bergantung kepada lokasi tumor, perubahan pada warna najis boleh jadi merah cerah atau merah gelap; kedua-duanya berlaku akibat pendarahan di dalam usus besar. Apabila kanser berlaku pada lokasi berdekatan dengan bukaan rektum, warna darah akan menjadi semakin cerah. Jika jauh daripada bukaan rektum, warnanya akan menjadi merah gelap.
  4. Sukar untuk buang air besar sepenuhnya. Bagi mereka yang masih rasa hendak buang air besar walaupun baru sahaja selesai melakukannya, ia mungkin tanda awal kanser kolorektal. Keadaan ini dikenali sebagai tenesmus.
  5. Gilir-gilir antara sembelit dan cirit birit. Apabila terdapat tumor yang menghalang pergerakan najis, kesukaran untuk ia melepasi halangan tersebut boleh menyebabkan sembelit. Walau bagaimanapun, jika ia berjaya melepasinya, najis yang masih belum memejal sepenuhnya boleh turut melepasi ruangan tersebut menyebabkan masalah cirit birit.


#2 Sakit abdomen akibat kanser kolorektal


Simptom sakit pada bahagian abdomen tidak spesifik kepada kanser kolorektal.


Walau bagaimanapun, ia merupakan tanda awal atau lewat bagi kanser tersebut.


Perkara ini boleh berlaku disebabkan oleh peningkatan saiz pada ketumbuhan atau pendarahan sehingga boleh menyebabkan iritasi pada lapisan abdomen.


#3 Kembung perut


Perubahan pada kekerapan anda kentut juga boleh menjadi tanda kepada kanser kolorektal.


Sebagai contoh, jika normal buat anda untuk kentut 23 kali, kekerapannya boleh berubah melebihi jumlah tersebut atau kurang.


Selain daripada itu masalah kembung perut juga boleh berlaku.


Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai alergi terhadap makanan atau mengambil minuman bergas, keadaan ini turut boleh berlaku.


Mereka yang didiagnosis dengan penyakit radang usus turut boleh mengalami simptom kekembungan.


#4 Loya atau muntah


Loya dan muntah boleh berlaku sekiranya ketumbuhan kanser terjadi pada permulaan organ usus besar. 


Halangan tersebut menyebabkan proses aliran makanan yang dicerna menjadi sukar dan ia kebiasaannya disertai dengan simptom lain seperti sakit abdomen, kembung perut dan sembelit.


Meskipun begitu, loya dan muntah bukanlah tanda mutlak bahawa anda mempunyai kanser kolorektal.


Pemeriksaan oleh doktor boleh membongkar punca di sebalik terjadinya simptom ini.


Sistemik


Berbeza dengan simptom lokal yang hanya tertumpu kepada organ usus besar dan rektum, simptom sistemik merupakan manifestasi gejala yang melibatkan seluruh badan.


Antara simptom sistemik yang sering dikaitkan dengan kanser kolorektal adalah seperti berikut.


#1 Hilang berat badan tanpa usaha


Apabila anda hilang kira-kira 5 peratus daripada berat badan asal dalam tempoh 6 hingga 12 bulan tanpa sebarang usaha, ia boleh jadi tanda awal kepada masalah kanser.


Gejala ini boleh berpunca daripada:

  • Penggunaan nutrien dan sumber tenaga oleh kanser.
  • Peningkatan kadar metabolisme kesan daripada bahan kimia yang dirembeskan oleh tumor.
  • Hilang selera makan akibat kanser


#2 Hilang selera makan


Simptom hilang selera makan akibat kanser boleh berpunca dari pelbagai faktor.


Antaranya adalah kelesuan, kesan sampingan rawatan kanser, sakit, kurang beraktiviti dan kemurungan akibat kanser.


Walaupun gejala ini sering dikaitkan dengan tahap lewat kanser, mereka yang berada pada peringkat awal juga boleh mengalami masalah kurang selera makan.


#3 Kelesuan yang tidak berpunca


Kelesuan kronik boleh berpunca daripada masalah kanser.


Berbeza dengan kelesuan biasa, ia tidak reda dengan hanya berehat panjang atau dengan mengambil secawan kopi.


Simptom ini boleh mempengaruhi produktiviti harian penghidap kanser kolorektal.


#4 Rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan badan sendiri


Walaupun bunyinya tidak saintifik, mereka yang menghidap kanser boleh rasa tidak selesa, tidak senang bagaikan ada sesuatu yang tidak kena dengan badan sendiri.


Perasaan tersebut boleh berlaku walaupun tiada simptom.


Jika anda rasa ‘tidak sedap badan’, anda boleh berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.


Simptom jarang kanser kolorektal


Walaupun simptom kanser kolorektal lebih tertumpu kepada sistem gastrousus, terdapat juga gejala lain yang boleh dialami oleh pesakit.

Antaranya adalah:

  • Demam: Jika tumor pada usus besar menyebabkan organ tersebut bocor, ia boleh menyebabkan terbentuknya abses (sekumpulan nanah). Keadaan tersebut boleh menyebabkan demam.
  • Air kencing berbuih: Simptom ini boleh berlaku sekiranya tumor berjaya merebak ke organ pundi kencing.
  • Masalah sukar bernafas: Apabila kanser usus sudah merebak ke peparu, ia boleh menyebabkan simptom pernafasan seperti sukar bernafas, batuk dan sakit dada.
  • Sakit kepala dan masalah neurologikal: Simptom seperti sakit kepala, penglihatan kabur, kekeliruan dan sawan boleh berlaku sekiranya kanser sudah merebak ke otak.
  • Sakit tulang: Apabila kanser sudah merebak ke tulang, simptom seperti sakit tulang, keretakan dan paras kalsium tinggi boleh berlaku.


Komplikasi Kanser Kolorektal


Kanser kolorektal boleh menyebabkan pelbagai jenis komplikasi. Antaranya adalah seperti berikut.


Anemia kekurangan zat besi


Mereka yang menghidap kanser kolorektal kebiasaannya akan dipantau jumlah darah mereka untuk memastikan tiada anemia.


Perkara ini boleh berlaku akibat daripada pendarahan mikroskopik yang berlaku pada ketumbuhan. 


Oleh sebab salur darah kanser lebih rapuh, ia mudah menyebabkan pendarahan.


Situasi kehilangan darah kronik ini boleh menyebabkan badan tidak berupaya untuk menghasilkan sel darah merah yang cukup. Maka komplikasi anemia boleh berlaku.


Usus tersumbat


Apabila saiz ketumbuhan menjadi semakin besar, ia boleh menghalang aliran makanan yang telah dicerna untuk dikumuhkan.


Perkara ini boleh menyebabkan pelbagai jenis simptom seperti sakit abdomen, kekembungan, loya, muntah dan sembelit.


Mereka yang mengalami komplikasi ini kebiasaannya akan ditolak masuk ke dalam bilik bedah untuk dipasangkan stent bagi membuka ruangan usus besar.


Jaundis


Organ hati merupakan lokasi lazim bagi proses metastasis (kanser merebak) kanser kolorektal.


Apabila komplikasi ini berlaku, ia boleh menyebabkan masalah jaundis (kulit dan mata anda menjadi kekuningan).


Konklusi


Walaupun kanser kolorektal sering disinonimkan dengan darah dalam najis, anda patut memberikan perhatian yang lebih kepada faktor perubahan corak buang air besar.


Sememangnya kanser kolon boleh membuatkan anda berasa risau untuk berjumpa dengan doktor namun diagnosis pada peringkat awal boleh memberikan potensi kesembuhan yang tinggi.


Jika anda risau, ingat, simptom yang anda alami berkemungkinan disebabkan oleh masalah yang kurang serius seperti jangkitan dan sebagainya.


Penafian: Artikel ini diterbitkan dengan keizinan pihak Hello Doktor. Untuk maklumat lanjut sila layari Hello Doktor

Post a Comment

Oops!
It seems there is something wrong with your internet connection. Please connect to the internet and start browsing again.
AdBlock Detected!
We have detected that you are using adblocking plugin in your browser.
The revenue we earn by the advertisements is used to manage this website, we request you to whitelist our website in your adblocking plugin.