Jenis Makanan Sihat Untuk Jantung

HelloDoktor: Tahukah anda selepas serangan jantung yang pertama, jika tidak dibendung dan dicegah, anda akan mudah dapat yang kedua terutama jika tidak jaga pemakanan. Ada pelbagai jenis makanan untuk sakit jantung.

Pilihan pemakanan sihat amat penting buat pesakit jantung kerana fungsi badan kita bertindak balas terhadap jenis makanan yang kita ambil.

Masalah yang sering terjadi dalam kalangan masyarakat ialah tidak berupaya untuk berhenti mengambil makanan yang salah, dan kurang mengambil makanan yang sepatutnya.

Marilah kita terokai maklumat mengenai jenis pemakanan yang sesuai selepas serangan jantung dalam artikel ini.

Apakah itu serangan jantung?

Serangan jantung, atau istilah perubatannya, infarksi miokardium akut merupakan salah satu penyakit serius yang kerap berlaku bukan sahaja di negara kita tetapi seluruh dunia.

Ia berlaku apabila saluran darah yang membekalkan oksigen kepada otot jantung (arteri koronari) disekat oleh pembentukan plak lemak dan kolesterol.

Apabila pembentukan plak berlaku, saluran darah akan berkurang dan menyebabkan otot jantung kekurangan oksigen. Ini sebaliknya akan menyebabkan sesetengah otot jantung mengalami kerosakan.

Kajian American Heart Association (AHA) mendedahkan sebanyak 20% pesakit berumur 45 tahun ke atas akan mendapat serangan jantung kedua dalam tempoh lima tahun selepas serangan pertama.

Makanan sihat untuk jantung

Untuk mengurangkan risiko serangan jantung yang seterusnya, pengambilan diet yang seimbang haruslah dipraktikkan.

Makanan untuk sakit jantung haruslah tinggi dengan kalium, vitamin B, serat, asid lemak Omega-3 dan asid folik. Amalkannya dalam diet mingguan anda.

1. Makanan tinggi kandungan kalium

Kumpulan makanan ini membantu untuk mengurangkan tekanan darah dan menyeimbangkan sodium dalam badan.

AHA mengesyorkan pengambilan potasium sebanyak 4.7 gram sehari.

Contoh makanan seperti:

  • Ubi keledek
  • Pisang
  • Bayam
  • Avokado
  • Acorn Squash (Labu acorn)

makanan tinggi potasium


2. Makanan tinggi asid lemak Omega-3

Kumpulan makanan ini dapat mengurangkan keradangan, tekanan darah dan mencegah pembentukan plak lemak dan kolesterol dalam saluran darah jantung.

AHA mengesyorkan hidangan ikan yang tinggi dengan asid lemak omega-3 sekurang-kurangnya 2 kali seminggu.

Contohnya:

  • Ikan salmon
  • Ikan parang
  • Ikan trout
  • Ikan tuna
  • Kacang walnut
  • Soya
  • Biji rami (flaxseed)

omega 3


3. Makanan tinggi serat

Makanan yang kaya dengan serat mampu merendahkan kolesterol LDL, tekanan darah dan mengurangkan keradangan otot jantung.

Walau bagaimanapun, jumlah serat yang sepatutnya diambil berbeza mengikut jantina. Lelaki harus mengambil kandungan serat yang lebih tinggi sebanyak 38 gram dan wanita sebanyak 25 gram sehari.

Contoh makanan tinggi serat ialah:

  • Rapsberi dan bluberi
  • Buah epal (termasuk kulitnya)
  • Oat
  • Kekacang dal
  • Kismis

makanan tinggi serat


4. Makanan tinggi vitamin B dan asid folik

Kategori makanan ini mengutamakan sayuran hijau. Ia membantu mengurangkan kadar homosistein dalam darah.

Homosistein ialah asid amino yang senang didapati daripada daging merah. Kajian membuktikan kadar homosistein yang tinggi berkait rapat dengan perkembangan awal serangan jantung.

Contoh sayuran ialah:

  • Bayam
  • Asparagus
  • Brokoli
  • Kubis keriting

makanan tinggi vitamin


Walaupun sayuran hijau adalah yang terbaik untuk anda mendapatkan kadar harian yang disyorkan, namun terdapat jenis makanan lain yang boleh diambil untuk jantung sihat seperti roti tepung gandum penuh, kekacang dan avokado.

ELAK makanan ini, ELAK serangan jantung kedua!

Usaha mengelakkan risiko serangan jantung bukan sahaja mempraktikkan pemakanan sihat namun makanan yang tinggi lemak trans dan lemak tepu haruslah dikurangkan sekali.

Sekali lagi, AHA mengesyorkan pengambilan maksimum lemak tepu ialah 14 gram dan lemak trans 2 gram setiap hari.

Awas dengan kandungan lemak tepu dan kolesterol tinggi dalam daging merah! Anda tidak perlu untuk menyingkirkan daging merah daripada hidangan anda, tapi anda boleh mengehadkannya sebanyak 170g sehari.

Makanan yang harus dielakkan ialah:

  • Biskut kracker
  • Donut
  • Kek, biskut, kerak pai
  • Makanan bergoreng
  • Krimer bukan tenusu
  • Bertih jagung

Konklusi

Pemakanan sihat merupakan cara yang paling senang dan terbaik untuk mengelakkan serangan jantung yang seterusnya.

Anda tidak semestinya harus mengubah keseluruhan diet anda dalam sekelip mata, tetapi ubahlah secara beransur-ansur.

Mulakan dengan menyingkirkan makanan yang tidak sihat, dan perlahan-lahan menambahkan kumpulan makanan yang lebih baik.

Amalkanlah tips pemakanan seperti di atas untuk jantung yang sihat. Selain itu, bacalah label nutrien semasa membeli produk, kurangkan makan di luar dan rujuklah pegawai perubatan atau dietetik anda untuk informasi lebih lanjut.

Penafian: Artikel ini diterbitkan dengan keizinan pihak Hello Doktor. Untuk maklumat lanjut sila layari Hello Doktor

Next Post Previous Post
1 Comments
  • Kerja Sendiri
    Kerja Sendiri November 12, 2020

    Ubi keledek direbus atau digoreng pun sedap.

Add Comment
comment url