5 Rahsia Kejayaan Cikgu Hailmi Memperoleh DG 48 Dalam Masa 11 Tahun


Tidak mustahil untuk mencapai cita-cita jika ada keazaman dan kesungguhan dalam diri. Itulah yang telah dilakukan oleh cikgu Norhailmi Abdul Mutalib atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Hailmi. Sebenarnya #kickstory telah lama follow blog cikgu hailmi ini kerana banyak perkongsian telah beliau berikan melalui blog.

Siapa sangka dalam masa 11 tahun sahaja cikgu Hailmi dapat mencapai DG48 dan menjadi pendorong kepada generasi muda terutamanya golongan pendidik yang muda untuk mengejar cita-cita yang diingini. Umur yang masih muda bukan penghalang untuk berjaya jika kita mempunyai semangat yang berkobar-kobar.

Baca kisah 5 Rahsia Kejayaan Cikgu Hailmi Memperoleh DG 48 Dalam Masa 11 Tahun

 SHAH ALAM - "Alhamdulillah, rezeki. Rezeki yang sepatutnya berkunjung pada 2023, tapi tiba lebih awal dari masanya."

Ini status pertama yang dimuat naik Norhailmi Abdul Mutalib, 36, di blognya apabila menerima berita gembira mengenai kenaikan gajinya yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Hailmi.

Siapa sangka, baru 11 tahun berkhidmat, beliau sudah mampu menikmati gaji seorang guru yang berkhidmat 16 tahun.

Baginya, tidak apa yang mustahil dalam hidup ini, jika kita berusaha dan melakukan sesuatu dengan sepenuh hati.

Namun, guru Sains yang kini mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Kedah ini masih teringat kata-kata nazir yang datang mencerap untuk permohonan Guru Cemerlang tahun lepas.

"Awak baru 10 tahun mengajar, and I think you are too young for GC48. Why do you think, you deserve for it?"

Bunyinya macam provokasi tetapi fikirnya, mungkin nazir itu mahu memancing jawapan yang terbaik daripadanya. Soalan itu dijawab sambil tersenyum.

"Sebab saya nak jadi contoh dan inspire other young teachers, bahawa kalau mereka kuat berusaha dan berusaha dengan betul, insyaAllah akan ada jalan pintas juga untuk mereka..

"Dan, hari ini saya dah buktikannya!", ujarnya.

Cikgu Hailmi berasal dari Perlis, mendapat pendidikan awal di SMK Agama Arau sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau kemudian, ditawarkan mengikuti program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) selama setahun dan seterusnya ditempatkan di SMK Luar Bandar No 1, Sibu, Sarawak.

Pada tahun keenam di sana, Cikgu Helmi berjaya mendapat Guru Cemerlang Sains sebelum bertukar ke sekolah sekarang sekitar 2015.


Didesak jadi guru cemerlang

Kejayaan itu tidak bermakna tanpa keazaman yang kuat untuk berubah dan menjadi lebih baik. Kata Cikgu Hailmi, beliau menggunakan tempoh lima tahun pertama berkhidmat sebaik mungkin untuk menimba ilmu.

"Sebagai guru baharu, saya perlu mengenalpasti potensi bakat dan kelebihan saya dalam bidang perguruan.

"Setelah cukup syarat, tahun keenam (2012) saya dah mohon untuk menjadi Guru Cemerlang Sains, sebenarnya saya didesak dan mendapat galakan tuan Pengetua, Mr Tan Hock Sang yang mahu semua guru sekolah itu menjadi Guru Cemerlang," katanya.

Meskipun asalnya Cikgu Hailmi merupakan guru Kimia (yang juga mengajar Sains), tetapi beliau memilih subjek Sains sebagai subjek kepakaran bagi mendapat gelaran Guru Cemerlang.

Ini sebab, katanya menjadi guru Sains ada beberapa kelebihan antaranya masa mengajar yang lebih banyak berbanding subjek Kimia selain mempunyai lebih banyak bahan, aktiviti dan program untuk dijalankan.

"Alhamdulillah rezeki saya dihalakan melalui laluan ini, maka pada 2013 saya menerima surat lantikan sebagai Guru Cemerlang Sains DG44 Khas Untuk Penyandang (KUP).

"KUP itu bermaksud gred yang saya peroleh boleh dibawa bersama saya ke mana-mana tempat saya berkhidmat, sama seperti gred 'timebased'," katanya.


Proses mantapkan kaedah mengajar

Setelah langkah pertama berjaya, beliau mengorak langkah untuk pencapaian seterusnya. Perancangan yang dibuat cukup teliti berserta usaha dan doa.

"Sepanjang tempoh 2013 hingga 2015 itu saya gunakan dengan sebaiknya bagi mengumpul lebih banyak tugasan berprofil tinggi seperti penyertaan peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa serta program berimpak tinggi kepada akademik, terutamanya kepada anak murid saya," katanya.

Kata Cikgu Hailmi, beliau akan mendokumentasi secara bertulis dan bergambar setiap program yang diadakan bagi membuktikan yang beliau telah menjalankan aktiviti tersebut.

Selain itu, beliau turut memantapkan kaedah mengajar dengan sentiasa membenarkan pengajaran dan pembelajaran (PdP)nya dipantau dan juga diberi maklum balas oleh guru lain melalui sesi seperti 'Lesson Study' dan 'Peer Coaching'.

"Dalam proses pemantauan kita mesti sentiasa terbuka untuk untuk menerima kritikan membina. Insya-Allah sangat membantu," katanya. Murid yang cemerlang, datangnya juga daripada guru yang cemerlang dan sentiasa progresif untuk belajar.

Sehubungan itu, beliau sangat memberi perhatian pada penghasilan modul, inovasi, penulisan dan kajian tindakan yang memberi impak kepada kemenjadian murid. Murid yang cemerlang, datangnya juga daripada guru yang cemerlang, dan sentiasa progresif untuk belajar.


Balik kampung

Pada tahun 2015, permohonan pertukaran untuk berkhidmat di semenanjung diluluskan.

"Alangkah gembira dapat pulang..  saya ditempatkan di sebuah sekolah yang baru saja setahun beroperasi, iaitu SMK Jerlun, Kedah. Walaupun saya berasal dari Perlis namun bertugas di negeri jiran ibarat pulang kampung.

"Di Kedah, peluang untuk terlibat aktif dalam perkara berkaitan Guru Cemerlang terbuka seluasnya. Ketika kawan yang mula berkhidmat pada tahun sama berkira-kira untuk memohon DG44 secara timebased, saya sudah memikirkan untuk memohon DG48 secara laluan kecemerlangan," katanya.

Namun, rezeki tidak menyebelahinya kerana pada tahun tersebut, tiada iklan Guru Cemerlang yang dikeluarkan KPM.

"Pada 2015, satu-satunya tahun tanpa iklan Guru Cemerlang, tapi datang pula rezeki lain untuk saya menimba pengalaman sebagai Guru Pertukaran di Korea selama 3 bulan.

"Saya rebut peluang itu kerana ingin menambah ilmu di tempat orang," katanya. Dan tahun lalu, iaitu tahun ke-10 beliau dalam perkhidmatan pendidikan, iklan yang ditunggu tiba. Kali ini, memang cukup syarat dengan tempoh perkhidmatan lebih tiga tahun dalam gred semasa, DG44.

"Galakan Tuan Pengetua, Haji Abdul Razak Mat seakan membakar semangat dan saya guna peluang itu sebaik mungkin.

"Sumbangan saya pula makin banyak hasil daripada peluang yang diberikan oleh PPD, JPN dan KPM sendiri. Peluang terbaik, yang tak sepatutnya saya persiakan. Alhamdulillah, permohonan kali kedua Guru Cemerlang saya bagi gred DG48 pada kali ini berjaya," katanya.



Lima rahsia kejayaan

Menurut Cikgu Hailmi, negara mempunyai ramai guru yang bagus dan memberi komitmen tinggi pada tugas mereka. Justeru, beliau menasihatkan agar guru berkenaan mengikut jejak langkah  beliau atau menjadi lebih baik dalam bidang perguruan.

Beliau guna lima tip ini untuk berjaya:

1) Gunakan setiap ruang dan peluang bagi menimba pengalaman dan mencari kekuatan diri sebagai pendidik. Kurangkan beri alasan, tetapi proaktif mencari jalan.

2) Fokus dengan perkara yang boleh memberi impak tinggi pada hala tuju dalam kerjaya kita sebagai pendidik. Bukannya buat semua benda, tapi tiada apa-apa untuk kemajuan diri bagi jangka masa panjang. Jangan sampai burnt out!

3) Jangan gopoh dan kalut dalam merancang persiapan anda menuju GC. Just be free and easy! Mohon GC bukannya seperti, buat hari ini, esok dah boleh mohon. Ia perancangan dan persiapan bagi tempoh tiga tahun, sekurang-kurangnya.

4) Perlu adanya GOOD MENTOR yang boleh menghalakan anda ke jalan yang benar, dan tuntut ilmu sampai habis. Jangan separuh jalan. Buruk padahnya nanti jadi anak murid yang derhaka.

5) Ingat, anda belum cukup BERJAYA jika anda tidak selesa dengan kejayaan orang lain. Bila tengok orang berjaya, jangan dengkilah senang ceritanya. Sentiasa reda, dan percaya bahawa setiap orang ada rezeki masing-masing. Kita juga!


"Okey, demikianlah serba sedikit perkongsian perjalanan saya dalam dunia pendidikan. Saya juga masih belajar, dan akan terus belajar. Doakan semoga urusan saya sentiasa dipermudahkan Allah SWT.

"Saya doakan juga semoga anda semua juga dipermudahkan urusan olehNya. Bersama-sama kita menjadi pendidik yang lebih berjaya. Insya-Allah," katanya.


Pencapaian Tertinggi

1. Pembentang Best Follow Up Activities dalam Seminar SSAEM 2016 di Seoul, Korea Selatan mewakili Malaysia.

2. Ketua kontinjen pasukan kumpulan guru petukaran Maalaysia ke Korea selama tiga bulan di Daegu Girl's Commercial High School (2015).

3. Peserta kursus STELR STEM Mewakili Maalaysia, bersama guru Asean di Bandung, Indonesia (2016).

4. Penerima Anugerah Agent for National Transformation 2014 daripada McMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia).

5. Penerima Anugerah Best Educational Blog dan Best Content Blog dalam Malaysia Social Media Award 2014 dan 2016.


Sumber Artikel: http://www.gpsbestari.com
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url