Demo nama gapo? Dok Mana? Dari sebuah pertanyaan ringkas itulah bermulanya kisah persahabatan admin dengan Babo Ji iaitu sahabat terbaik admin bermula 26 Disember 2019. Tarikh itulah menjadi tarikh permulaan persahabatan kami ketika mesyuarat pengurusan bagi pembukaan sesi persekolahan 2020.
Pertemuan pertama antara admin dan Babo Ji sederhana sahaja. Bertanya khabar dan berbual-bual kosong semasa mesyuarat pengurusan. Seusai mesyuarat pengurusan admin meminta izin untuk menumpang di rumah Babo Ji kerana rumah guru sudah penuh.
1.1.2020 adalah tarikh pembukaan sekolah dan pada tarikh itulah admin mula menjadi sabahat Babo Ji. Sebelum mengenali rakan-rakan yang lain seperti Ustaz Hawari, Babo Ji adalah sahabat pertama admin di Meranto yang menjadi teman untuk berbual, makan dan sebagainya.
Tidak disangka, pertemuan singkat itu menjadi permulaan sebuah persahabatan indah yang diharap akan bertahan untuk selama-lamanya, melalui suka dan duka, tawa dan air mata, kegelapan dan cahaya. Terima kasih sahabat terbaikku, sahabat dunia akhirat.
Hidup PJJ, masalah air keruh, misi pindah ke hilir adalah skop yang selalu dibincangkan dan menjadi asas ukhwah persahabatan kami. Walaupun kami tidak sedarah, admin menganggap Babo Ji seperti abang kandung sendiri.
Dulu semasa kali pertama pindah ke Gua Musang, admin selalu rasa bersendirian, walaupun dikelilingi ramai orang. Tapi sejak mengenal Babo Ji, admin rasa ada teman sebenar. Bak kata pepatah :Persahabatan dalam Islam itu adalah cerminan ukhuwah fillah - persaudaraan kerana Allah. Ia bukan berdasarkan kepentingan dunia, tetapi atas dasar iman".
"Persahabatan sejati tidak diukur oleh jarak, tidak dihalang oleh masa, dan tidak terputus oleh kematian." Walaupun sekarang admin sudah pindah ke Kota Bharu, admin tetap mengenang segala kenangan persahabatan antara admin dan Babo Ji.
Perpisahan ini bagi admin sangat sedih tidak terungkap dengan kata-kata. Namun, apakan daya takdir Allah telah tertulis. Admin sentiasa doakan Babo Ji dan Kak Nor dapat pindah mengajar di sebelah hilir nanti. Terima kasih Babo Ji dan Kak Nor kerana dapat admin menumpang kasih seorang abang dan kakak semasa di Gua Musang.
Pertemuan dan persahabatan antara admin dan Babo Ji adalah salah satu nikmat terbesar dalam hidup admin. Enam tahun bersahabat dengan Babo Ji telah mengajar erti persahabatan sebenar - bukan sekadar perkongsian suka dan duka, tetapi transformasi jiwa admin membawa admin lebih dekat kepada Pencipta.
Sebenarnya banyak lagi coretan yang admin ingin tulis tetapi apabila mengenang segala kenangan persahabatan ini membuatkan admin sangat sedih. Min stop kat sini lah dulu.
Semoga ukhwah dan persahabatan yang terjalin tetap kekal di sanubari. Terima kasih sahabat untuk budi, kenangan, pertolongan dan segala-galanya semasa bersama di Gua Musang. Akan admin ingat dan kenang sampai bila-bila
"Terima kasih, Ya Allah, kerana mengurniakan min sahabat yang menunjukkan jalan kembali kepada-Mu. Pertemukanlah kami di syurga-Mu nanti, dalam persahabatan yang abadi."
إرسال تعليق for "Nikmat Persahabatan Apa Lagi Nak Didustakan"