Info Pantas? Join facebook kami Kickstory Join Now!
Posts

Ramai Yang Sebak Dengar Khutbah Jumaat

Admin
menghargai jasa ibu bapa


Pada hari Jumaat yang lalu, ramai di kalangan jemaah masjid sebak dan menangis apabila mendengar khutbah yang dibacakan oleh khatib yang bertajuk "Menghargai Jasa Ibu Bapa". 

Khutbah Jumaat yang menyentuh jiwa dan perasaan para jemaah Jumaat lepas disediakan oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Sebak dan menitis air mata sepanjang khutbah dibaca oleh Khatib terutamanya bagi mereka yang telah kehilangan ibu bapa. 

Bagi yang masih mempunyai ibubapa, hargailah mereka sebelum mereka dijemput menemui Ilahi. Terima kasih ibu dan ayah.

Boleh muat turun khutbah Jumaat ni di sini. https://www.e-maik.my/v2/index.php/e-khutbah

Menghargai Jasa Ibu Bapa

Ucaplah terima kasih yang tidak terhingga khusus kepada ayah dan ibu:

TERIMA KASIH IBU kerana mengizinkan kami menumpang rahim ibu selama 9 bulan 10 hari.

TERIMA KASIH IBU kerana telah bersusah payah melahirkan kami sehingga terkoyak isi ibu, terluka kulit ibu, tertumpah darah ibu, dan bercucuran air mata ibu kerana menahan kesakitan dan penderitaan.

TERIMA KASIH IBU yang sanggup berkorban, tidak pernah kenyang makan dan minum kerana ingin mengenyangkan kami.

TERIMA KASIH IBU yang tidak pernah nyenyak tidur kerana memikirkan keselesaan tidur kami.

TERIMA KASIH AYAH yang mengizinkan kami dibinkan kami dengan nama ayah.

TERIMA KASIH AYAH yang sudi melaungkan azan dan kalimah syahadah ketika kami baru dilahirkan dari perut ibu.

TERIMA KASIH AYAH yang sudi mengajar kami tentang ketegasan di dunia ini, hingga kami kenal peraturan dan jalan kehidupan.

TERIMA KASIH AYAH yang menjadi asbab kami mengenal Allah tuhan kami, kami kenal Nabi Muhammad SAW utusan Allah. Kami kenal akidah sebenarnya yang mesti dipegang sehingga akhir hayat kami.

TERIMA KASIH AYAH, insan tabah yang jarang menitiskan air mata di hadapan kami. Titisan itu hanya untukMu Ya Allah, resah gelisah ayah disembunyikan daripada kami tetapi hanya diceritakan kepada Allah SWT. Rahsianya hanya engkau yang tahu Ya Allah.

TERIMA KASIH AYAH yang selalu bertanya khabar kami melalui lisan dan perantaraan ibu.

TERIMA KASIH AYAH yang sudi menghulurkan wang saku melalui lembutnya tangan ibu.

TERIMA KASIH AYAH yang selalu memandang kami, ketawa kecil, senyum lebar dari jauh.

TERIMA KASIH AYAH yang telah mendidik kami dengan tegas. Hari ini kami menjadi ayah kepada anak-anak kami. Kami baru mengenali watak ayah sebenarnya.

TERIMA KASIH AYAH DAN IBU kerana sanggup berkorban wang ringgit beribu-ribu untuk membesarkan kami. Pada masa kami masih bayi, susu, lampin dan pakaian mencecah ribuan ringgit.

TERIMA KASIH AYAH DAN IBU menghantarkan kami ke sekolah. Di waktu kami di alam sekolah rendah selama 6 tahun.

IBU DAN AYAH bersusah payah berhabis ribuan ringgit untuk belanja sekolah kami sebelum kami melangkah ke sekolah menengah.

Ketika kami di sekolah menengah, di alam remaja kami, IBU DAN AYAH memerah keringat, membanting tulang empat kerat menyediakan duit belanja kami, membeli buku-buku sekolah dan yuran peperiksaan. Terima kasih ibu dan ayah membelanjakan semua itu dengan nilai beribu-ribu.

Apabila kami memasuki universiti, ayah dan ibu sanggup bergadai menjual tanah pusaka demi anak supaya berjaya.

Ayah dan ibu telah membelanjakan untuk kita daripada usia bayi sehingga dewasa mencecah jutaan ringgit. Apakah ayah dan ibu kita merupakan jutawan?.

Justeru, sedarlah kita bahawa nilai kasih sayang dan jasa ibu dan bapa tidak mampu untuk kita membayarnya.

Ya Allah, sekiranya ayah dan ibu masih ada, engkau sihatkanlah tubuh badan mereka, engkau panjangkanlah umur mereka dalam kebajikan dan kerahmatan. Tambahkanlah padanya ketabahan, keimanan dan ketaqwaan, Ya Arhamarrahimin.

Andai kata, engkau ingin mengambil nyawa mereka berdua dari kami, janganlah engkau sakiti mereka Ya Allah. Engkau permudahkanlah dan ringankan beban mereka ketika menghadapi sakaratulmaut.

Andai mereka telah pergi bertemuMu Ya Allah, dengan rahmatMu yang maha luas, Engkau lapangkanlah kubur mereka. Pindahkan mereka dari kegelapan liang lahad ke dalam syurgaMu yang luas tidak terperi. Kurniakanlah mereka nikmat yang abadi.

Sesungguhnya berbakti kepada kedua ibu bapa tidak terhenti ketika mereka masih ada. Pintu berbuat ihsan dan bakti kepada mereka tidak pernah tertutup walau mereka telah meninggalkan kita. Dalam sebuah hadis, seorang lelaki daripada Bani Salamah bertanya kepada Rasulullah SAW: Ya Rasulullah, apakah masih ada bentuk baktiku kepada ibu bapaku setelah mereka meninggal dunia?

Rasulullah SAW menjawab: Ya ada, iaitu dengan mendoakan keduanya, beristighfar atau meminta keampunan untuk keduanya, menunaikan janjinya, menyambung silaturrahim dengan orang yang kedua ibu bapamu lakukan serta memuliakan teman-temannya.

Alangkah beruntungnya ibu bapa yang memiliki anak soleh yang terus berbakti hingga akhir hayat, baik ketika ibu bapa masih hidup mahupun telah meninggal dunia. Di dunia mereka hidup bahagia, di alam kubur pahala terus mengalir kepada mereka.

Sumber: MAIK

Post a Comment

Oops!
It seems there is something wrong with your internet connection. Please connect to the internet and start browsing again.
AdBlock Detected!
We have detected that you are using adblocking plugin in your browser.
The revenue we earn by the advertisements is used to manage this website, we request you to whitelist our website in your adblocking plugin.