Harga rumah dijangka meningkat 3.0 hingga 12 peratus pada 2022-2023

 

rumah naik harga 2022
Gambar Hiasan : Top One Property

KUALA LUMPUR: Harga rumah di Malaysia dijangka meningkat tiga peratus dalam jangka 12 bulan akan datang dan terus melonjak 12 peratus bagi tempoh 12 bulan berikutnya, didorong unjuran yang lebih baik.


Bagi pasaran sewa, walaupun dijangka menunjukkan pertumbuhan hanya satu peratus bagi 12 bulan akan datang namun ia diunjurkan meningkat lapan peratus selepas suku ketiga 2022, menurut Juwai IQI, firma teknologi hartanah, dalam laporan kaji selidik hartanah terkininya yang dikeluarkan pada Isnin.


"Unjuran bagi pasaran hartanah kediaman Malaysia semakin baik.


"Memandangkan kita hampir pasti melaksanakan pembukaan semula ekonomi dan mengekang pandemik, kami menjangkakan aktiviti transaksi serta harga hartanah rumah meningkat tahun ini," kata Pengasas Bersama dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Kashif Ansari.


Beliau berkata pembeli rumah kali pertama dilihat benar-benar memanfaatkan situasi pasaran semasa, dengan 35 peratus transaksi rumah baharu dan 31 peratus transaksi subjualan pada separuh pertama 2021 telah dilakukan oleh kumpulan pembeli ini.


"Pembeli rumah kali pertama meraih manfaat daripada dasar rangsangan oleh kerajaan, kerana mereka memiliki lebihan simpanan dan dorongan lebih kuat untuk membeli rumah sendiri, susulan pandemik," katanya.


Beliau berkata ramai dalam kumpulan itu kurang berbelanja untuk perjalanan, hiburan dan perbelanjaan lain sejak pandemik mula berlaku, justeru, simpanan terkumpul itu telah membantu mereka untuk membeli rumah pertama.


Kashif berkata 56 peratus daripada hampir 400 ejen yang terlibat dalam kali selidik itu juga yakin kadar pertumbuhan transaksi yang pesat akan dicatatkan kumpulan pembeli kali pertama bagi baki tempoh 2021.


"Negeri yang dijangka mencatatkan peningkatan pembeli rumah kali pertama paling ketara ialah Pulau Pinang dan Perak, dengan tiga sukuan daripada ejen di negeri itu mengunjurkan kenaikan berkenaan," katanya.


Beliau berkata mengenai pembeli asing, kali selidik itu menunjukkan bahagian transaksi disumbangkan oleh pembeli asing susut kepada paras terendah -- hanya 13 peratus daripada pembelian keseluruhan yang dilakukan pada separuh pertama 2021.


"Prestasi dari segi pembeli asing tidak akan pulih sehingga sempadan dibuka, namun transaksi mereka dijangka meningkat lebih 50 peratus daripada angka semasa apabila sempadan negara dibuka," katanya.


-- BERNAMA [link]

أحدث أقدم