5 tahap jangkitan COVID-19


Hello Doktor: Ramai yang menganggap mereka perlu melakukan ujian saringan COVID-19 apabila terdapat simptom atau gejala sahaja.

Namun tahukah anda, kebanyakan mereka yang disahkan positif sebelum ini tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda COVID-19?

Disebabkan itulah, kita diingatkan untuk mematuhi langkah-langkah pencegahan memandangkan jangkitan ini tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda COVID-19 pada peringkat awal.

5 tahap jangkitan COVID-19


Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan 1 maklumat berkenaan 5 tahap jangkitan atau tanda-tanda COVID-19 yang berlaku kepada manusia.

Berikut adalah tahap-tahap jangkitan tersebut.

Tahap 1: Tidak bergejala (assymptomatic). Pada tahap 1, mereka yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang gejala atau tanda-tanda COVID-19. Mereka tidak mengalami batuk, selesema atau demam dan hanya kelihatan normal seperti orang lain.

Tahap 2: Bergejala tanpa radang paru-paru  (symptomatic, no Pneumonia). Pada tahap ini, mereka yang dijangkiti akan menunjukkan simptom atau gejala COVID-19 seperti demam, batuk dan selesema. Tetapi mereka tidak mempunyai masalah berkaitan radang paru-paru.

Tahap 3: Bergejala dengan radang paru-paru (symptomatic, Pneumonia). Pada tahap ke-3, mereka yang dijangkiti masih menunjukkan gejala COVID-19. Tetapi ia ditambah lagi dengan munculnya masalah berkaitan radang paru-paru.

Tahap 4: Bergejala, mempunyai radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen (symptomatic, Pneumonia, requiring supplemental oxygen). Pesakit yang berada pada tahap ke-4 masih mempunyai gejala COVID-19 dan juga radang paru-paru seperti pada tahap ke-3. Namun, pada tahap ini, pesakit memerlukan bantuan oksigen untuk terus bernafas.

Tahap 5: Pesakit kritikal dengan penglibatan multiorgan (critically ill with multiorgan involvement). Pada tahap ini, pesakit sudah berada pada satu tahap jangkitan yang kritikal. Ini kerana banyak organ lain dalam tubuh sudah mula terjejas dan berada dalam keadaan yang kritikal akibat jangkitan virus COVID-19.


Peratusan pesakit COVID-19 di Malaysia mengikut tahap jangkitan


Menurut laporan oleh KKM, sebanyak 88% daripada mereka yang telah dijangkiti berada pada Tahap 1 dan Tahap 2.

Ini jelas menunjukkan kebanyakan daripada pesakit jangkitan ini sama ada tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda COVID-19 atau hanya menunjukkan gejala COVID-19 yang ringan seperti demam dan batuk.

7% peratus daripada keseluruhan pesakit semasa pula berada pada Tahap 3 dan Tahap 4. Manakala sebanyak 5% daripada baki jumlah keseluruhan pesakit berada pada Tahap 5.

Mengapa ramai pesakit berada pada Tahap 1 dan 2?

Kebanyakan pesakit yang berada pada Tahap 1 dan 2 tidak menyedari bahawa mereka telah dijangkiti virus COVID-19. Walaupun mengalami gejala COVID-19 seperti batuk dan demam, mereka mungkin beranggapan ia adalah sekadar batuk dan demam biasa sahaja.

Oleh sebab itu, mereka lebih cenderung untuk mengabaikannya dan hanya melakukan saringan apabila menyedari ada kontak rapat dengan individu yang positif COVID-19.

Apatah lagi jika mereka yang tidak mempunyai sebarang gejala ini bergerak ke sana sini dan bergaul dengan individu lain di tempat-tempat awam. Penularan wabak COVID-19 menjadi lebih mudah dan pantas untuk menyebar kepada orang lain. Mereka tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya telah dijangkiti dan seterusnya menyebarkan virus tersebut kepada orang lain. 

Kepentingan jarak sosial, kuarantin dan PKP


Disebabkan itu, kerajaan Malaysia sentiasa menyeru agar semua rakyat di negara ini untuk terus menjaga jarak sosial antara satu sama lain.

Ini kerana anda mungkin tidak tahu jika individu yang berada di sebelah anda ketika berada di pasar adalah pembawa jangkitan COVID-19. 

Berikut adalah cara untuk menjaga jarak sosial di rumah.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak 18 Mac yang lalu adalah salah 1 langkah pencegahan awal untuk mengelakkan lebih ramai individu daripada dijangkiti.

Kini, langkah pelaksanaan PKP mula memperlihatkan kesan positifnya apabila hampir separuh daripada pesakit yang dijangkiti telah pun sembuh daripada wabak tersebut.

Meskipun kes jangkitan COVID-19 di Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara, namun rekod kadar kematian akibat virus ini adalah antara yang paling rendah di Asia Tenggara bahkan juga di seluruh dunia.

Kes-kes jangkitan baharu harian juga tidak menunjukkan peningkatan yang ketara atau secara mendadak, tidak seperti negara-negara maju yang lain.

Seruan untuk semua rakyat Malaysia!


Senada bersama KKM, kami di Hello Doktor menggesa anda semua untuk terus melakukan ujian saringan COVID-19 sekiranya mempunyai hubungan dengan kes-kes atau aktiviti seperti berikut;

  • Mempunyai gejala seperti demam, batuk atau selesema
  • Mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara terutamanya ke negara-negara yang terlibat dengan jangkitan ini
  • Pernah menghadiri mana-mana acara besar perhimpunan; perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling dan Sulawesi, perhimpunan keagamaan gereja di Kuching, majlis perkahwinan di Bangi atau mana-mana kes berdasarkan kluster yang pernah diumumkan oleh KKM
  • Mempunyai hubungan atau kontak rapat dengan individu yang pernah menghadiri program atau acara seperti di atas
  • Setelah melakukan ujian, sila lakukan kuarantin sendiri di rumah anda.

Jangan keluar rumah sekurang-kurangnya dalam tempoh masa 14 hari untuk memastikan anda benar-benar bebas jangkitan tersebut.

Bersama-samalah kita berganding bahu membantu negara melawan virus COVID-19. Kita mesti menang!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

#HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronaVirus

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di Hello Doktor




Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url