Garis Panduan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Murid Tahap 1


Garis Panduan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Murid Tahap 1 . Garis panduan ini bertujuan untuk memberi penjelasan tentang kaedah pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) seiring dengan pemansuhan amalan peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun bagi murid Tahap I di semua sekolah rendah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mulai tahun 2019.

Latar Belakang Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Murid Tahap 1 


Pelaksanaan KSSR (Semakan 2017) bertujuan untuk memupuk murid yang mempunyai nilai etika dan kerohanian, bersedia untuk menghadapi cabaran kehidupan masa hadapan, menyelesaikan konflik secara harmoni, bijak membuat pertimbangan, berpegang kepada prinsip serta berani melakukan perkara yang betul.

PBD merupakan kaedah pentaksiran yang bersifat autentik dan holistik, serta lebih berfokus kepada perkembangan dan pembelajaran murid, dan bukan lagi berorientasikan peperiksaan. PBD juga dapat mewujudkan budaya pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan bermakna.

Pemansuhan amalan peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun di Tahap I adalah untuk membolehkan guru memberikan lebih penumpuan terhadap PdP yang dapat membina karakter dan sahsiah murid dan amalan nilai rutin harian. Pelibatan ibu bapa juga penting dalam usaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan bebas tekanan kepada murid di peringkat awal usia persekolahan.

Tafsiran PBD Tahap I


PBD merupakan sebahagian daripada PdP di dalam bilik darjah dan dijalankan secara berterusan. PBD secara sumatif dalam bentuk peperiksaan pertengahan dan akhir tahun diganti dengan aktiviti
pentaksiran berupa projek mudah, kuiz, permainan, main peranan dan bercerita. Hasil kerja murid dinilai sebagai bahan pentaksiran yang dijalankan dalam PdP.

Objektif Pelaksanaan PBD


Pelaksanaan PBD bertujuan untuk mendapatkan gambaran tentang perkembangan dan kemajuan pembelajaran, mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid supaya tindakan susulan yang sesuai sama ada untuk meningkatkan atau memperbaiki pembelajaran murid dapat diambil secara serta-merta. Di samping itu, PBD dapat memberi maklum balas tentang keberkesanan pengajaran guru.

Aktiviti PdP Yang Melibatkan PBD



  1. PBD dilaksanakan melalui aktiviti PdP yang berikut: (Projek Mudah, Bercerita, Permainan, Main Peranan dan Kuiz)
  2.  Guru mata pelajaran boleh berbincang dan merancang dengan guru mata pelajaran lain untuk melaksanakan aktiviti PdP. Aktiviti boleh menggabungkan kandungan daripada dua atau lebih mata pelajaran.
  3. Guru juga boleh menjalankan PBD dalam bentuk aktiviti lain yang sesuai.

 Kaedah Pelaksanaan PBD


PBD dilaksanakan dalam semua mata pelajaran dalam proses PdP harian dan secara berterusan. PBD dilaksanakan secara formatif dan sumatif mengikut keupayaan dan keperluan murid. Berikut adalah kaedah pelaksanaan PBD:

1. Merancang PdP dan kaedah pentaksiran dengan meneliti dan memahami kandungan dalam DSKP.
2. Melaksanakan PBD untuk mengumpul maklumat melalui pelbagai kaedah pentaksiran.
3. Membina instrumen PBD berasaskan keperluan dan pembelajaran murid seperti:
     · Senarai semak
     · Soal-selidik
     · Lembaran kerja
     · Rekod berterusan
     · Skala kadar
     · Ujian (lisan/bertulis)
4. Merekod dan menganalisis penguasaan murid untuk tindakan susulan.
5. Melapor tahap penguasaan dan perkembangan murid sekurangkurangnya dua kali setahun.

Pelaksanaan Pemulihan 


Murid Tahap I yang mempunyai kesukaran untuk menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira dikenal pasti dan diberi pemulihan yang bersesuaian. Pihak sekolah diberi autonomi untuk melaksanakan pemulihan mengikut kesesuaian di peringkat sekolah. Sekolah boleh menggunakan instrumen yang bersesuaian seperti instrumen LINUS sedia ada atau senarai semak untuk mengenal pasti tahap penguasaan murid.

Peranan Guru Dalam PBD 



  1. Guru menentukan objektif pembelajaran berdasarkan Standard Pembelajaran, merancang dan membina instrumen PBD berdasarkan Standard Prestasi, melaksanakan pentaksiran, merekod hasil pentaksiran, menganalisis maklumat pentaksiran, membuat tindakan susulan dan melaporkan perkembangan pembelajaran murid.
  2. Guru hendaklah memastikan terdapat perkembangan dalam pembelajaran murid. Setiap murid dibimbing untuk mencapai sekurang-kurangnya Tahap Penguasaan. Walau bagaimanapun, guru juga perlu membuat perancangan dan pelaksanaan untuk memastikan pengembangan potensi semua murid bagi mencapai tahap optimum.
  3. Guru mentaksir murid secara holistik berdasarkan aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai secara berterusan melalui pelbagai kaedah seperti pemerhatian, latihan, respons murid secara lisan dan kerja projek. Guru hendaklah menggalakkan murid melaksanakan pentaksiran rakan sebaya atau secara kendiri.
  4. Guru boleh menyimpan hasil kerja murid, dalam bentuk lembaran kerja, kertas ujian atau buku latihan dan/atau dalam bentuk objek/maujud sebagai bahan bukti untuk menunjukkan perkembangan penguasaan murid kepada pihak yang berkepentingan seperti pentadbir dan ibu bapa.
  5. Guru hendaklah sentiasa berbincang dengan rakan sejawat tentang perkembangan dan kemajuan murid dalam pembelajaran serta kaedah PdP yang sesuai untuk meningkatkan tahap penguasaan murid.
  6. Guru menentukan Tahap Penguasaan murid berdasarkan pengetahuan, pengalaman, tanggungjawab profesional guru dan hasil pentaksiran murid.
  7. Guru menyediakan Pelaporan Tahap Penguasaan murid untuk dimaklumkan kepada murid dan ibu bapa mengenai tahap pembelajaran murid untuk tindakan susulan.
  8. Guru perlu memberikan ulasan perkembangan murid seperti kemahiran, sikap dan nilai pada ruangan ulasan guru dalam templat pelaporan untuk menggambarkan profil murid secara menyeluruh

Penyimpanan Rekod PBD



Rekod PBD yang telah disediakan boleh disimpan oleh guru dan pihak sekolah untuk tujuan pelaporan atau tindakan susulan. Hasil kerja murid boleh disimpan dalam bentuk digital, cetakan atau apa-apa bentuk yang bersesuaian untuk rujukan guru dan pihak sekolah.

Penjaminan Kualiti PBD


Penjaminan kualiti PBD adalah tanggungjawab sekolah. Pentadbir perlu menjalankan penjaminan kualiti di peringkat sekolah untuk memastikan kelancaran dan ketepatan pelaksanaan pentaksiran dalam bilik darjah.

Penutup Panduan PBD


Guru boleh mendapat maklumat mengenai PBD dengan merujuk Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah terbitan tahun 2018 yang boleh dimuat turun dari laman sesawang Bahagian Pembangunan Kurikulum (https://bpk.moe.gov.my).






أحدث أقدم