Kelewatan Pembayaran Tuntutan Pemeriksa SPM 2017


Lembaga Peperiksaan (LP) memaklumkan bahawa semua bayaran ikhtisas kepada semua pemeriksa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 telah diselesaikan sebelum cuti Hari Raya Aidilfitri.  Pada masa sekarang, LP sedang memproses pembayaran bagi tuntutan perjalanan yang dijangka akan diselesaikan sepenuhnya pada bulan Ogos 2018.

LP telah menerima lebih 47,000 tuntutan pemeriksa SPM 2017 yang meliputi bayaran tuntutan ikhtisas dan tuntutan perjalanan. Kesemua tuntutan ini diterima secara serentak. Di samping itu, kelewatan bayaran pada tahun ini juga disebabkan penggunaan sistem pembayaran baharu yang dilaksanakan mulai Januari 2018 oleh semua agensi kerajaan persekutuan. Melalui sistem ini, semua bayaran tuntutan perjalanan tidak boleh menggunakan kaedah baucar berganda mengikut kumpulan pemeriksa, tetapi setiap tuntutan pemeriksa perlu dikunci masuk satu persatu. Hal ini juga merupakan antara faktor yang menyebabkan kelewatan bayaran tuntutan perjalanan bermula dengan bayaran tuntutan pemeriksa UPSR 2017 dan kini turut memberi kesan terhadap bayaran tuntutan pemeriksa SPM 2017.

LP sangat kesal atas masalah yang dihadapi oleh semua pemeriksa berkaitan perkara ini dan sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan bayaran tuntutan perjalanan ini dapat diselesaikan dengan segera.

Sekiranya tuan/puan ingin mendapatkan maklumat lanjut, tuan/puan boleh menghubungi di talian 03-8884 5307/ 5370/ 5339/ 5375. Mohon kerjasama tuan/puan untuk menyatakan nama penuh, mata pelajaran yang diperiksa, nombor kumpulan dan nombor telefon untuk memudahkan LP menyemak dan memaklumkan status tuntutan tuan/ puan.

Sekian, terima kasih.

Pengarah Peperiksaan
Lembaga Peperiksaan
Kementerian Pendidikan Malaysia

Sumber: KPM