Seorang Guru Agama Dituduh Cabul Murid - Berita Harian


BALIK PULAU: Polis menahan seorang guru agama di sebuah sekolah di Sungai Ara di sini pagi semalam kerana dikatakan mencabul beberapa murid lelaki sekolah itu.

Penahanan terhadap guru agama berusia 40 tahun itu pada jam 10 pagi dibuat selepas polis menerima laporan daripada beberapa keluarga pelajar berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan, berkata suspek ditahan di perkarangan Pejabat Pendidikan Daerah Barat Daya.

"Setakat ini, kita sudah menerima enam laporan polis berhubung kejadian cabul itu membabitkan murid Tahun Empat dan Lima.

"Lima daripadanya adalah laporan kerana dicabul manakala satu lagi laporan dibuat kerana mangsa hampir dicabul guru agama terbabit," katanya.

Menurutnya, laporan pertama dibuat pada Rabu lalu oleh ibu mangsa selepas anaknya mendakwa diraba kemaluan ketika sesi pembelajaran dalam kelas.

"Ketika kejadian mangsa dipanggil membaca al-Quran dan dia diraba guru terbabit ketika berdiri di sebelah meja.

"Mangsa juga mendakwa guru terbabit sudah melakukan perbuatan itu terhadapnya sejak April lalu dan turut memberitahu ibunya beberapa rakan lain juga diperlakukan sedemikian," katanya.

Menurutnya, empat lagi mangsa tampil membuat laporan semalam dengan mendakwa mereka dicabul dalam kelas serta surau di sekolah ketika sesi pembelajaran dan selepas waktu sekolah.

"Suspek sudah berkahwin dan mempunyai lima anak serta mengajar di sekolah terbabit sejak 2014 lalu.

"Dia kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

Difahamkan, ada antara mangsa dicabul berulang kali ketika waktu rehat dan juga selepas sesi persekolahan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/07/453232/guru-agama-dituduh-cabul-murid#cxrecs_s

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info