Kelonggaran Setahun Terhadap Pelaksanaan Pemakaian Kasut Hitam.


KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bersetuju dengan cadangan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, memberi kelonggaran setahun terhadap pelaksanaan pemakaian kasut hitam.

Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak berkata, cadangan menukar kasut putih kepada kasut hitam memang baik tetapi ia bergantung kepada kemampuan ibu bapa terutama mereka yang berpendapatan rendah dan mempunyai anak yang ramai bersekolah.

"Satu bersetuju adanya tempoh peralihan menukar warna kasut agar tidak menimbulkan kesulitan kepada ibu bapa dan mereka boleh membelinya secara beransur-ansur. Bagaimanapun, kementerian perlu menyediakan garis panduan pemakaian kasut hitam pada tahun ini agar ibu bapa boleh bersedia untuk kemasukan sesi persekolahan pada tahun 2019.

"Kepada sekolah yang sudah menetapkan pelajarnya berkasut hitam seperti sekolah berasrama penuh dan pengawas sekolah, tiada masalah dan mereka boleh teruskan saja," katanya ketika dihubungi tadi.

Menurut Kamarozaman lagi, bukan semua rakyat hidup senang dan harga kasut pun bukannya murah iaitu berharga lebih RM30 sepasang. Maka dengan pelaksanaan kasut hitam ke sekolah, NUTP mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) turut memainkan peranan mengawal harga kasut.

"Ini kerana apabila ada dasar baharu, pihak pengeluar akan ambil kesempatan menaikkan harga. Jangan serahkan kepada pihak swasta kerana mereka ini akan menganiaya rakyat yang kurang berkemampuan dan ada ramai anak.

"Berkasut hitam ke sekolah memang bagus kerana ia tidak mudah nampak kotor terutama pada hari hujan dan becak tetapi apabila membabitkan kos, kerajaan perlu melakukan sesuatu seperti pemberian kupon atau rebet kepada golongan miskin," katanya.

Kamarozaman berkata, NUTP juga mahu KPDNKK memantau harga barang-barang keperluan sekolah yang lain kerana harganya mahal.

"Kesatuan juga mahu pakaian sekolah diseragamkan dan untuk membezakan pelajar itu pengawas, mereka boleh memakai tali leher atau tudung berbeza warna dengan pelajar lain.

"Saya juga dapati pakaian seragam untuk aktiviti ko-kurikulum agak mahal dan ibu bapa tiada pilihan. Mereka terpaksa membelinya untuk anak-anak.

"Apabila Kementerian Pendidikan mahu melaksanakan dasar baharu, agensi-agensi berkaitan mesti turut sama membantu meringankan beban rakyat," katanya.

Perlaksanaan pakai kasut hitam itu sepatutnya bermula tahun depan tetapi diberi tempoh setahun sebagai langkah tidak membebankan ibu bapa selain menyesuaikan pelbagai pihak terhadap peraturan baharu itu.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata demikian selepas perasmian Pejabat Ahli Parlimen Simpang Renggam, hari ini.

Sumber: Harian Metro

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info