Guru Semakin Kurang Di Bandar Besar - Dr Maszlee


KLUANG: Masalah kekurangan guru semakin meruncing di bandar utama negara, terutama di Johor dan Selangor berikutan ramai guru dalam perkhidmatan memilih kembali ke tempat asal untuk bertugas.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata kos sara hidup tinggi di bandar besar dikenal pasti antara faktor menyebabkan ramai guru kembali ke kampung halaman untuk mengajar.

Katanya, banyak guru, contohnya memohon keluar dari bandar besar untuk kembali bertugas di kawasan asal mereka termasuk Kelantan, Kedah serta Perlis dan jika aliran ini terus meningkat, ia bakal menjejaskan sistem pendidikan negara.

"Kekurangan guru di bandar besar utama seperti Johor Bahru, Pasir Gudang dan Shah Alam, kini serius berikutan ramai guru memohon untuk kembali bertugas di tempat asal mereka.

"Ia diburukkan lagi dengan kurangnya permohonan guru untuk bertugas atau menggantikan guru berpindah di kawasan kekurangan guru di bandar besar menyebabkan masalah kekurangan guru kian serius.

"Kementerian kini meneliti kaedah penyelesaian terbaik masalah kekurangan guru ini termasuk melakukan beberapa inisiatif seperti meningkatkan elaun sara hidup guru yang bertugas di bandar besar," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata demikian selepas menyampaikan sijil siap kerja pembinaan sekolah daif fasa 1 2018 negeri Johor di Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam, dekat sini, hari ini.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/452365/guru-semakin-kurang-di-bandar-besar-dr-maszlee

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info