Guru Ditahan Cabul Murid - Berita Harian


AMPANG: Seorang guru lelaki yang dipercayai mencabul murid perempuan sebuah sekolah rendah di daerah ini pada Mei lalu ditahan, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, lelaki berusia 53 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini kira-kira jam 2 petang tadi.

"Pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada 16 Jun lalu. Namun, difahamkan keluarga mangsa membuat laporan polis bertujuan sebagai rujukan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tindakan lanjut.

"Sebaik menerima laporan itu, kami membuka kertas siasatan bagi tindakan seterusnya. Namun, tiada perkembangan hasil perbincangan oleh pihak berkaitan.

"Pada awal Julai ini, kami mengambil keterangan suspek dan membuat siasatan mengenai latar belakangnya sebelum mengambil tindakan menahannya hari ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Fadzil berkata, sebelum ini pihaknya ada menerima satu laporan berhubung seorang murid perempuan yang dipercayai dicabul oleh suspek di Kajang beberapa tahun lalu.

"Difahamkan tiada tindakan lanjut berhubung laporan dibuat di Kajang sebelum guru berkenaan kemudian ditukarkan bertugas di sekolah rendah terbabit di Ampang.

"Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (AKSKK) 2017," katanya.

Dalam kejadian Mei lalu, mangsa berusia 10 tahun dikatakan diajak oleh guru berkenaan ke dalam sebuah bilik kokurikulum sekolah terbabit dengan alasan bagi membantu merekod markah.

Namun, ketika di dalam bilik itu, guru berkenaan menarik tangan mangsa dengan kasar dan memaksanya duduk di atas ribanya selain memegang paha, dada dan bahagian sulit murid perempuan terbabit.

Malah, tiga murid lain dikatakan berada di dalam bilik berkenaan ketika itu dan menyaksikan kejadian terbabit.

Ibu mangsa kemudian membuat laporan polis pada Jun lalu berhubung kejadian itu sebaik dimaklumkan anaknya.

Difahamkan beberapa murid lain turut tampil memaklumkan mereka juga menjadi mangsa cabul guru berkenaan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/07/450813/guru-umur-53-tahun-ditahan-cabul-murid

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info