Guru Didakwa Cabul Pelajar Digantung Tugas


PETALING JAYA: Seorang guru yang didakwa mencabul seorang pelajar di Johor digantung tugas sehingga siasatan berhubung kes tersebut selesai.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, kementerian memandang serius laporan berhubung kes dakwaan cabul itu.

“Guru tersebut kini sedang bercuti tanpa gaji bermula 15 Julai lalu hingga 9 Ogos depan.

“Sebaik sahaja guru tersebut habis tempoh cuti tanpa gaji, dia tidak akan dibenarkan untuk mengajar di sekolah sehingga siasatan selesai dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ahad lalu, dilaporkan seorang guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah di Kulai diburu polis bagi membantu siasatan berkaitan kes cabul terhadap seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun, April lepas.

Nie Ching berkata, tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terbukti perbuatan terkutuk itu dilakukan terhadap pelajar berkenaan.

“Guru-guru besar, pengetua-pengetua, pegawai-pegawai Pejabat Pendidikan Daerah dan pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Negeri juga diperingati bahawa, pada masa akan datang, sekiranya ada kakitangan yang disyaki telah melakukan kesalahan jenayah, tindakan yang sewajarnya perlu diambil untuk memastikan guru-guru tersebut ditukarkan ke jawatan kumpulan,” katanya.

Beliau menambah, tindakan itu diambil di bawah Surat Pekeliling Perkhidmatan Kementerian Pendidikan Bilangan 2 Tahun 2009.

Berdasarkan laporan mangsa, guru lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut sebanyak dua kali iaitu pada 11 April dan 22 April lepas.

Kejadian kali pertama berlaku di sebuah bilik perpustakaan sekolah berkenaan di mana guru tersebut meminta pelajar berkenaan menanggalkan baju dengan alasan untuk membuat pemeriksaan badan.

Guru itu kemudian bertindak mencium bibir pelajar tersebut dan memaklumkan bahawa perbuatan berkenaan melayakkan pelajar itu untuk menjadi seorang pengawas sekolah.

Pelajar tingkatan tiga itu sekali lagi menjadi mangsa di sebuah bilik di rumah guru berkenaan di mana guru itu mengulangi perbuatan jijik yang sama.

Pelajar terbabit tidak berani bersuara dan hanya melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak sekolah pada 26 Julai lalu ketika guru berkenaan sedang bercuti tanpa gaji selama sebulan.


Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/07/31/guru-cabul/#d1OSGJeppKgaiEpt.99

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info