Dr Maszlee Layan Isu Kecil Tentang Isu Pendidikan


SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengakui perlu melayan isu-isu kecil seperti kerusi patah, guru besar menjengkelkan dan guru berduka lara untuk diselesaikan.

Maszlee berkata, disebabkan itu, beliau tidak dapat melaksanakan perkara besar melibatkan perubahan dalam sistem pendidikan negara buat masa ini.

Katanya, ia merupakan halangan terbesarnya yang disifatkannya sebagai 'fire fighting'.

"Saya faham ramai guru berduka lara. Cuma kita kena kenal pasti, terdapat kekurangan guru di Sabah, Sarawak, Johor terutama Johor Bahru dan Pasir Gudang, Selangor serta Wilayah Persekutuan.

"Guru di sekolah tersebut terpaksa mengajar lebih, namun kita terima banyak permintaan untuk balik ke Kelantan, Terengganu dan Kelantan," katanya ketika program Bicara Minda, Malaysia Baharu & Pendidikan Negara anjuran Sinar Harian di sini, hari ini.

Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan sedang meneliti masalah guru berduka lara itu dan meminta masa untuk menyelesaikan perkara tersebut.

"Kita memang teliti kes ini, saya ambil kira perkara ini, malah setiap hari saya tanya kepada bahagian yang terlibat kepada pertukaran guru," katanya.

Dalam pada itu, Maszlee meminta supaya pasangan memberi sokongan kepada guru yang berduka lara.

"Harapan saya pada guru, jika ingin profesion perguruan dipandang tinggi, ia perlukan pengorbanan. Saya yakin ada antara guru yang berkorban, tetapi paling penting pengorbanan daripada pasangan.

"Selain itu, guru besar juga perlu berikan sokongan kepada guru yang berkorban seperti ini. Saya yakin kalau guru gembira, anak-anak murid pun gembira," katanya.

Sumber: Sinar Harian

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info