SKPMg2 Permulaan Kurang Beban Guru - Maszlee


KLUANG: Pemberhentian siri audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) adalah langkah permulaan kepada usaha Kementerian Pendidikan mengurangkan beban kira-kira 500,000 guru seluruh negara.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata beberapa lagi langkah bagi mengurangkan beban guru akan diambil bagi membolehkan mereka menumpukan kepada tugas hakiki iaitu mendidik anak bangsa.

Beliau berkata, pihaknya mahu guru kembali kepada 'roh kependidikan' dengan memberi tumpuan mengajar dan membina sahsiah pelajar.

Katanya, beliau sendiri mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan kumpulan guru termasuk di Simpang Renggam bagi mendapatkan maklum balas mereka mengenai tugas dan masalah dihadapi.

"Maklum balas guru berhubung pemberhentian siri audit SKPMg2 amat luar biasa sekali, malah saya dimaklumkan ada guru mengalami tekanan darah tinggi.

"Namun, kita akan terus mengadakan pertemuan dan bekerjasama dengan guru bagi mendapatkan input menambah baik serta mengurangkan beban ditanggung mereka.

"Kementerian mahu guru lebih fokus dan komited dalam tugas hakiki bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) lebih lancar serta menyeronokkan, selain usaha meningkatkan diri dan berdamping dengan masyarakat untuk mencapai kemenjadian murid, " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau kerja menaik taraf Jalan Simpang Renggam-Johor Bahru, dekat Simpang Renggam, hari ini.

Sementara itu, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam mengumumkan sebuah Kolej Komuniti dan Politeknik Metro akan diwujudkan di kawasan Parlimen berkenaan.

Katanya, ia bagi memberi peluang anak muda tempatan melanjutkan pengajian tinggi dengan mudah, selain memartabatkan pencapaian pendidikan mereka.

"Kolej Komuniti dan Politeknik Metro akan diwujudkan selewat-lewatnya tahun depan selepas beberapa perincian dimuktamadkan.

"Bagi Kolej Komuniti, ia lebih mudah kerana tidak memerlukan pembinaan bangunan baharu, sebaliknya bangunan rumah kedai sedia ada boleh digunakan, tetapi Politeknik Metro perlu perincian lain, " katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/06/435915/skpmg2-permulaan-kurang-beban-guru-maszlee