23 Kod Etika Jumpa Cikgu


Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mencadangkan 23 perkara dalam Kod Etika Ibu Bapa/ Penjaga sebagai panduan tatacara untuk ibu bapa dan penjaga ketika berurusan dengan guru dan pentadbiran sekolah.

Presiden NUTP Kamarozaman Abd Razak berkata, kod etika itu membabitkan 15 usul mesti dipatuhi dan lapan perkara perlu dihindari ibu bapa atau penjaga ke atas semua sekolah serta institusi pendidikan seperti kolej vokasional, matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Antara usul yang dicadangkan adalah ibu bapa atau penjaga perlu merujuk pengetua atau guru besar terlebih dulu sekiranya mempunyai sebarang masalah dengan guru berkaitan anak mereka.

“Perkara kedua, ibu bapa atau penjaga tidak dibenarkan membawa masuk topi keledar atau benda yang boleh mendatangkan mudarat atas dasar keselamatan, malah sekolah berhak menghubungi pihak berkuasa jika arahan ini tidak dipatuhi.

“Ketiga, menyalahgunakan atau mesej berunsur ancaman serta fitnah seperti e-mel, teks, mel suara, panggilan telefon atau komunikasi bertulis serta media sosial Facebook, WhatsApp, Twitter dan Instagram,” katanya pada sidang media Kod Etika Ibu Bapa/ Penjaga di Wisma NUTP, semalam.

Menurut Kamarozaman, NUTP mengalu-alukan pendapat dari Sekolah Pendidikan Khas bagi memberi kefahaman kepada ibu bapa untuk mereka yang mempunyai anak kurang upaya (OKU) yang boleh mencederakan diri sendiri.

“Kod etika ini menjamin kefahaman ibu bapa untuk menuruti tatasusila apabila berurusan dengan pihak sekolah.

“Apabila ada perkara berbangkit, kami berharap mereka selesaikan di peringkat sekolah dulu atau hubungi jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebelum membuat laporan polis yang juga langkah terakhir,” katanya.

Ditanya mengenai aduan salah laku guru, beliau berkata, kebanyakan guru bersikap profesional namun guru yang disaman ibu bapa hanya membabitkan kes berat.

Sumber: HarianMetro