Perutusan Hari Guru Oleh Pengarah Pelajaran Malaysia 2014 - Kickstory

Latest

Just Another View With A DSLR

Wednesday, May 21, 2014

Perutusan Hari Guru Oleh Pengarah Pelajaran Malaysia 2014



PERUTUSAN SAMBUTAN HARI GURU 2014 
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA 


“GURU: PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI” 

Bismillahirrahmanirrahim 
 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 
Salam Sejahtera, Salam Perpaduan 
dan Salam 1Malaysia 



Saudara dan saudari warga pendidik 
dan murid-murid yang dikasihi sekalian, 

1. Tanggal 16 Mei merupakan hari yang amat bermakna kepada individu yang bergelar guru atau lebih sinonim dengan gelaran „cikgu‟, kerana hari ini merupakan hari yang diiktiraf sebagai hari guru. Seperti biasa, tarikh keramat 16 Mei disambut dengan meriah bagi meraikan para guru yang bertungkus lumus mendidik anak-anak kita tidak kira di ceruk mana sahaja berada untuk menjadi orang yang berguna. Pada hari ini, guru-guru diraikan oleh anak-anak didik mereka sebagai tanda sokongan dan penghargaan atas usaha bakti yang telah dicurahkan. 

2. Marilah kita semua bersyukur ke hadrat Allah swt kerana sekali lagi kita dapat menyambut Hari Guru kali ke-43 pada tahun ini. Selamat Hari Guru dan terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan terhadap komitmen, keikhlasan, dedikasi dan prestasi tinggi para guru kepada bangsa dan negara. Jasa dan pengorbanan guru serta seluruh warga pendidikan terhadap pembangunan pendidikan negara sentiasa relevan dan dihargai.Tugas sebagai seorang guru dipandang tinggi dan amat mulia sebagai pemangkin pembangunan negara, pembentuk generasi dan menjadi asas kemajuan pendidikan negara di samping memacu kejayaan rakyat. Guru-guru perlu mempunyai jati diri dan semangat yang tinggi untuk menabur bakti kepada anak bangsa tanpa menghirau penat lelah, tanpa menghirau jarak dan sempadan malah mereka diakui mampu melahirkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh dan boleh memacu pembangunan dan ekonomi negara ke arah yang lebih baik. 

3. Kini kita telah pun melangkah ke tahun kedua pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM). Saya akan meneruskan amanah yang diberikan untuk terus memastikan PPPM ini berada pada landasannya. Ini bertujuan untuk memastikan transformasi pendidikan negara ini dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan mencapai matlamatnya. Bagi mencapai hasrat itu, pendidikan perlu bersifat dinamik dan holistik yang sentiasa segar serta berubah mengikut keperluan masa dan persekitarannya. 

4. Salah satu aspek penting dan utama yang diberi penekanan menerusi pelan tersebut adalah berkaitan profesion keguruan. Tumpuan akan diberi kepada usaha-usaha peningkatan kualiti guru serta menjadikan profesion ini sebagai profesion pilihan. Menerusi pelan ini juga, para guru di seluruh negara adalah diharap dapat meneruskan peningkatan keilmuan masing-masing sejajar dengan perkembangan teknologi dan persekitaran semasa. 

5. Guru-guru sepatutnya menjadikannya sebagai satu cabaran baru dalam meneroka dan meningkatkan lagi kebolehan, keupayaan masing-masing bagi menghadapi gelombang perubahan yang berlaku masa kini dan mendatang. 

6. Pada hemat saya selain daripada dasar dan pelan yang disediakan, guru-guru merupakan pemain utama dan penentu terhadap transformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan. Segenap lapisan rakyat dalam negara ini sentiasa menaruh harapan kepada guru. Yakinlah bahawa pendidikan adalah harapan masa depan negara. 

7. Oleh itu, saya menyeru warga pendidik agar bersama-sama meletakkan keutamaan pada tahap tertinggi bagi memastikan semua perancangan dalam pelan pembangunan pendidikan berjalan lancar. Hal ini kerana, saya berpandangan bahawa sentuhan masa depan negara (touching the future) sebenarnya bermula di tangan guru. 

8. Dalam hal ini, saudara dan saudari para guru disaran agar lebih peka dengan realiti murid masa kini dan mengambil pendekatan kontemporari dalam mendidik. Tugas “memanusiakan manusia” bukanlah perkara yang mudah, guru juga harus memiliki jati diri yang jitu untuk menzahirkan akhlak mulia bagi menjadi contoh kepada anak didik mereka. Guru perlu memiliki personaliti yang cemerlang untuk menarik perhatian dan menjadi tempat rujuk murid. 

Saudara dan saudari yang dikasihi, 

9. Tema Hari Guru tahun ini “Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi” sangat bertepatan dengan dunia pendidikan pada masa kini. Kreativiti dan inovasi amat dituntut untuk melahirkan generasi murid berfikiran kelas pertama dalam abad ke-21 untuk bersaing dalam abad penuh cabaran ini. Para guru harus sentiasa meningkatkan keupayaan kreativiti dan inovasi dalam melaksanakan tugas yang semakin mencabar. Untuk itu, guru perlu peka dan sentiasa bersedia menambah ilmu untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif. 

10. Kreativiti ialah suatu bentuk proses pemikiran yang mendorong penjanaan idea baharu. Kreativiti melibatkan kombinasi antara idea baharu dan idea lama yang diproses semula, membuat pemilihan dan menukar ganti menjadi sesuatu yang baharu. Inovasi pula merupakan suatu idea, amalan atau objek yang baharu dan yang lebih baik. Inovasi dihasilkan oleh manusia kreatif yang dapat membina trend baharu dan menggunakan peluang semaksimum mungkin dalam ekosistem yang penuh persaingan. Sebagai contoh, jika dulu penggunaan telefon bimbit hanya sebagai alat perhubungan tetapi kini melalui inovasi, digunakan sebagai penyampai maklumat, pandu arah perjalanan, internet, kamera dan alat hiburan. 

11. Kreativiti amat penting dalam membangunkan masyarakat dan negara. Secara umumnya, para pemimpin, ahli perniagaan, saintis, ahli sejarah, pendidik dan ahli psikologi menyatakan bahawa kreativiti sangat diperlukan untuk kelangsungan hidup di dalam sesebuah negara terutamanya dalam era globalisasi, perubahan, cabaran, dan persaingan yang sedang dan akan terus berlaku. Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun dan berhasrat untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020, keperluan terhadap kreativiti semakin mendesak. Tambahan pula, perkembangan ekonomi yang berlaku akibat transformasi dasar kerajaan telah mengubah lanskap pendidikan negara. 

12. Guru memainkan peranan penting bagi menerapkan elemen kreativiti dan inovasi dalam pengajaran mereka. Oleh itu, guru perlu sentiasa berfikir untuk membudayakan elemen kreatif dan inovatif dalam setiap aspek pengajaran dan pembelajaran. Melalui budaya pemikiran kreatif dan inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran dapat mengaktifkan minda murid menjadi lebih dinamik, kreatif dan inovatif. Hasil atau outcome pembudayaan elemen kreatif dan inovatif ini, insyaallah akan menjadikan pengajaran guru dan pembelajaran murid lebih berkualiti. Oleh itu, untuk mencapai tujuan ini maka para guru mestilah sentiasa think again, think across and think ahead. 

13. Dalam hal ini juga, saya percaya bahawa kita perlu melihat apa yang berlaku di dalam kelas atau pembelajaran di bilik darjah. Pada saya, the classroom is the source of energy for positive vibrations – the nucleus of change. Slight ripple of improvement in the classroom will create a strong wave of transformation. Pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah harus menekankan kepada pedagogi. Fokus pembelajaran murid hendaklah menjadi agenda utama seseorang guru. Guru-guru disaran agar sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran mereka dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. 


Saudara dan saudari yang dikasihi, 

14. Peranan pengurusan sekolah juga penting dalam membudayakan elemen kreativiti dan inovasi agar menjadi organisasi pembelajaran yang bermaklumat, menggalakkan pengembangan pengetahuan baharu, membudayakan ilmu saintifik dan teknologi termasuk menggunakan tenaga sumber secara maksimum. Barisan pentadbir sekolah haruslah bertanggungjawab bagi mencetuskan budaya kreativiti dan inovasi. 


15. Bagi mewujudkan suasana kreatif dan inovatif, sekolah perlu mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengurusan demi memberi ruang kebebasan berkarya kepada warganya. Oleh itu, pihak pengurusan juga perlu menjadikan iklim sekolah sentiasa ceria, bersih, kemas dan bermaklumat. Pengurusan sekolah perlulah memastikan komunikasi dua hala, pengaliran maklumat lebih demokratik, gaya kepimpinan yang berhemah dan pembangunan insan yang harmoni bagi mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif. 

16. Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) secara meluas dapat membina imej baharu dalam pengurusan organisasi yang berprestasi tinggi. Ia akan menjadikan sekolah lebih berdaya saing dan menjadi lebih produktif. Guru juga disaran meneliti semula amalan bilik darjah yang sesuai dengan ciri serta situasi murid sekarang. Menurut Sternberg (2004), “minda manusia mempunyai tiga potensi utama iaitu kepintaran, kreativiti dan kebijaksanaan, ketiga-tiganya mesti dipupuk dan dirangsang agar manusia dapat menggunakan mindanya secara optimum.” 

17. Adalah menjadi tanggungjawab semua guru ke arah melahirkan murid yang mempunyai enam aspirasi, iaitu berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional seperti yang dihasratkan dalam PPPM. Guru juga perlu sentiasa menggunakan kemahiran dan pengetahuan pedagogi bersifat kreatif dan inovatif serta menerapkan 
unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bagi menjadikan pembelajaran menarik dan menyeronokkan. 

18. Ciri budaya sekolah yang menggalakkan kreativiti dan inovasi akan mendorong semangat belajar yang tinggi dalam kalangan murid.Daya usaha murid sendiri dan sentiasa berusaha mengembangkan potensi diri dengan bimbingan dan sokongan guru-guru yang dedikasi, terlatih dan profesional akan membuahkan kejayaan. 

Saudara dan saudari yang dikasihi, 

19. Pembangunan modal insan merupakan unsur penting yang seharusnya diberikan tumpuan terutamanya dalam rangka negara kita sedang bergerak untuk mencapai Wawasan 2020 dan sekaligus menjadi lebih berdaya saing pada peringkat antarabangsa. Menyedari hakikat ini, pembangunan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan inovatif serta berdaya saing di peringkat antarabangsa penting untuk melahirkan tenaga kerja yang memiliki kemahiran, pengetahuan dan daya kreativiti agar mereka dapat menyelesaikan tugasan yang semakin kompleks. 

20. Di samping itu guru juga mempunyai tugas berat dalam menghasilkan generasi muda yang berpotensi dengan kemahiran pelbagai dan dapat membentuk ciri-ciri keperibadian agar selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Guru perlu mempunyai idea kreatif dan inovatif dalam menjana idea, konsep atau strategi baharu yang dapat meningkatkan amalan berkesan dalam menyampaikan ilmu kepada anak-anak didik. Saya amat berharap guru dan murid perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk membangunkan pendidikan negara. 

21. Hal yang demikian, guru perlu melengkapkan diri bagi menghadapi cabaran global. Guru perlu mencanai perancangan strategik serta menyatukan aspirasi bagi memastikan sekolah mampu melahirkan murid cemerlang. Di samping itu, para guru perlu ketelusan minda dalam mendidik murid, menyuntik semangat agar terus gigih, berinovatif, berdedikasi dan berintegriti dalam menggalas tanggungjawab. 

22. Di samping para guru melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang amat mencabar ini, saya juga amat memahami akan keluhan perasaan saudara dan saudari. Untuk itu, saya akan pastikan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia akan sentiasa berupaya mendengar, prihatin dan serius, sentiasa terbuka dan telus terhadap sebarang rungutan dan pandangan daripada saudara dan saudari. 

23. Namun saya juga berharap agar segala pandangan atau rungutan termasuk kritikan membina perlulah dilakukan secara tertib, berhemah serta mengikut peraturan dan saluran yang betul. Ini bertujuan agar profesion keguruan dapat sentiasa terpelihara dan dihormati oleh masyarakat. Kita perlu sentiasa menjaga imej kita sebagai guru disamping sentiasa berpegang kepada nilai-nilai murni yang menjadi amalan masyarakat kita serta menjadi nadi penggerak ke arah perpaduan negara. 


24. Marilah kita memperbaharui tekad dan azam dengan seluruh tenaga dan keupayaan demi membangunkan modal insan berkualiti. Saya yakin bahawa tanggungjawab berat yang digalas oleh saudara dan saudari para guru di samping tekanan yang dihadapi sedikit pun tidak melunturkan rasa kasih dan sayang kepada anak-anak didik semua. Saya amat yakin dan percaya bahawa saudara dan saudari para guru yang ada di hadapan murid-murid mereka adalah guru yang penyayang. Setiap murid di mata dan hati seorang guru adalah permata bersinar yang mempunyai keistimewaan dan kebolehan tersendiri. “Ketahuilah bahawa pendidikan anak-anak murid ini merupakan pelaburan jangka panjang dalam konteks pembangunan sesebuah negara”. 


Kepada anak-anak murid yang disayangi sekalian, 

25. Guru merupakan ibu dan ayah kepada anak-anak didik semua, kepada guru-gurulah harapan ibu bapa untuk menjadi pengganti mereka bagi mendidik anak-anak ketika berada di sekolah. Sekiranya ada antara murid-murid yang ditegur oleh guru, janganlah mudah berkecil hati atau merasa diri kurang disayangi. Anggaplah para guru sebagai ibu dan bapa di sekolah yang sentiasa mengambil berat dan menginginkan yang terbaik untuk murid-murid semua. 


Saudara dan saudari yang dikasihi, 

26. Besarlah harapan saya agar saudara dan saudari para guru yang dikasihi sekalian terus melaksanakan amanah yang diberi penuh dedikasi, bertunjangkan integriti dan berlandaskan etika perkhidmatan. Selaku pencetus, penggerak dan pemegang amanah 
kepada proses transformasi sistem pendidikan negara, saudara dan saudari mempunyai kedudukan tersendiri, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Marilah kita teruskan amalan budaya kerja cemerlang, sikap kebertanggungjawaban, istiqamah dan semangat mujahadah setiap daripada kita untuk melakukan yang terbaik demi nusa dan bangsa. 


27. Saya mengambil kesempatan di sini, mengucapkan selamat hari guru dan terima kasih cikgu kepada semua insan yang bergelar guru dengan pesanan jadilah guru yang berdedikasi, komited, cemerlang, kreatif, inovatif, kaya maklumat dan bersemangat tinggi dalam perjuangan di arena pendidikan. Selain itu, jadilah guru yang prihatin 
serta sentiasa menyayangi muridnya. Sesungguhnya Malaysia amat memerlukan khidmat bakti saudara dan saudari para guru demi agama, bangsa dan negara tercinta. 


“SELAMAT HARI GURU” 

“TERIMA KASIH CIKGU” 


DATUK DR KHAIR BIN MOHAMAD YUSOF 
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia 

16 Mei 2014 


  print this page Print this page

No comments:

Post a Comment