Isu - Isu Guru - Kickstory

Latest

Just Another View With A DSLR

Thursday, June 16, 2011

Isu - Isu Guru


1.0       Pengenalan
Paparan isu dan masalah tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru sering kali dilaporkan tidak kira melalui media cetak atau media elektronik. Paparan isu ini sering kali dijadikan isu yang hangat dan menjadi topik perbincangan oleh masyarakat di seluruh Malaysia secara amnya dan di seluruh dunia secara khususnya.  Pelbagai masalah yang melibatkan etika perguruan sering dilaporkan melibatkan beberapa kes tingkah laku negative yang dilakukan oleh guru seperti kes rasuah, gangguan seksual, dera dan sebagainya.
Sebagai contohnya isu gangguan seksual iaitu mencium murid yang dilakukan oleh guru yang dilaporkan oleh akhbar Harian Metro yang bertarikh 22 Julai 2010 telah menjadikan isu ini semakin hangat diperkatakan disegenap lapisan masyarakat. Berdasarkan isu gangguan seksual yang dilakukan oleh guru yang berumur 50 tahun yang mencium murid tahun satu, menunjukkan bahawa guru tersebut telah melanggar kod etika perguruan dengan membuat gangguan seksual ke atas muridnya.  Isu gangguan seksual yang dilakukan oleh guru ini semakin berleluasan dari hari ke hari. Persoalannya mengapa isu gangguan seksual ini berlaku?
Kejadian gangguan seksual semakin berleluasan dewasa ini. Gangguan seksual ini bukan sahaja berlaku di tempat kerja dan tempat awam malah isu ini telah menular di sekolah dimana mangsanya ialah murid-murid. Gangguan seksual yang dilakukan oleh para pendidik ini menunjukkan mereka tidak bertanggungjawab dalam melindungi anak murid dibawah jagaan mereka. Sering kali kita dengar terdapat tingkah laku yang negatif yang dilakukan oleh guru tidak kira guru itu muda atau tua. Ini memberikan gambaran bahawa sekolah bukan lagi institusi yang selamat dari masalah ini jika hal ini dilakukan sendiri oleh guru.
Kod Amalan (1999) mentakrifkan gangguan seksual contohnya mencium ialah sebarang tingkah laku berunsur seksual yang tidak dingini dan memberi kesan samada secara lisan, isyarat, visual, psikologi atau fizikal. Gangguan seksual boleh dikategorikan kepada 2 bahagian iaitu gangguan seksual berbentuk ugutan (sexual coercion) dan gangguan seksual berbentuk ancaman terhadap ketenteraman peribadi (sexual annoyance).

Gangguan seksual berbentuk ugutan ialah gangguan yang memberikan kesan secara langsung kepada mangsanya contohnya seseorang pelaku mempunyai kuasa untuk cuba mengugut mangsanya untuk mendapatkan kepuasan mereka. Manakala gangguan seksual secara peribadi ialah tingkah laku seksual yang dianggap oleh mangsa sebagai ancaman, ugutan atau penghinaan.

Kementerian Sumber Manusia (1999) mengkategorikan bentuk-bentuk gangguan seksual kepada lima jenis iaitu gangguan secara lisan, gangguan secara isyarat, gangguan secara visual, gangguan secara fizikal dan gangguan secara psikologikal. Gangguan secara lisan ialah  bentuk gangguan yang dapat dilihat dalam penggunaan bahasa lucah melalui perbualan, bercerita, berjenaka, membuat bunyi-bunyian, memberi kritikan, komen, pujian atau mengajukan soalan berunsur seksual ke atas penampilan, pakaian, tingkah laku, tubuh badan atau aktiviti seksual sehingga seseorang berasa tersinggung, terhina atau terugut

Selain itu, gangguan secara isyarat (Bukan Lisan) ialah gangguan yang dipamerkan melalui sikap atau perlakuan seseorang yang memberi maksud atau gambaran keinginan yang berunsurkan seksual antara lain, seperti menjeling, menggoda, merenung, mengintai, menjilat bibir atau mengguna bahasa isyarat yang lain. Manakala gangguan secara visual ialah perlakuan menghantar nota, surat, e-mail, pesanan ringkas (sms), gambar, poster, objek atau bahan bacaan yang berunsur seksual melalui penggunaan apa jua peralatan media, peralatan elektronik atau peralatan komunikasi kepada mangsa yang menyebabkan mangsa berasa tersinggung, terhina atau terugut juga terjumlah kepada gangguan seksual.

            Disamping itu, gangguan secara fizikal ialah gangguan yang berbentuk sentuhan fizikal yang berunsur seksual seperti mendekati orang lain dalam jarak yang terlalu dekat sehingga orang tersebut berasa kurang selesa, memegang, memeluk, menepuk, menggosok, mencubit, mencium atau meraba sehingga mangsa berasa tersinggung, terhina atau terugut. Manakala gangguan secara psikologi ialah mangsa cuba merapati secara seksual, mendorong, mendesak, mengugut atau memujuk rayu bagi memenuhi keinginan seksual seseorang sama ada melalui surat, telefon, e-mel atau sebarang bentuk peralatan komunikasi kepada mangsa yang menimbulkan tekanan emosi dan mental ke atas mangsa.
2.0       Punca Tingkah Laku Guru Bagi Kes/ Isu Tersebut
Gangguan seksual contohnya cabul (mencium) adalah satu isu tingkah laku yang negatif yang dilakukan oleh guru terhadap muridnya sehingga murid tersebut takut untuk ke sekolah. Keselamatan murid tersebut telah terancam kerana perbuatan yang dilakukan oleh guru tersebut sangat keterlaluan.  Menurut Koss (1990), murid yang mengalami gangguan seksual iaitu dicium seringkali merasa diri mereka sebagai mangsa dan menukar corak hidup mereka menjadi pendiam, kurang bergaul dan sebagainya. Murid yang menjadi mangsa ini melarikan diri dari keadaan tersebut menyebabkan peluang untuk belajar mereka rosak dan menjejaskan masa depan mereka.
Murid yang mengalami gangguan seksual akan menanggung tekanan yang tinggi termasuk perasaan takut, marah, murung, malu, mudah tersinggung dan kurang motivasi untuk belajar (Koss, 1990).  Keadaan yang dialami oleh murid ini berpunca dari guru yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan murid tersebut. Terdapat pelbagai teori yang boleh dikaitkan denga punca tingkah laku yang dilakukan oleh guru tersebut terhadap muridnya. Persoalannya adakah punca ini menyebakan guru berkelakuan begini?
Antara punca tingkah laku negatif yang dilakukan guru bagi kes gangguan seksual (mencium) pertamanya ialah kurang memahami etika keguruan. Guru yang memahami etika keguruan tidak akan tergamak melakukan perkara sedemikian  terhadap anak muridnya sendiri. Ini berbeza pula dengan guru tersebut kerana telah melanggar kod etika guru yang telah digariskan. Ini menunjukkan bahawa guru tersebut tidak mengerti dan memahami apa yang terkandung dalam kod etika guru. Berdasarkan kod etika perguruan sepatutnya setiap ahli profesion iaitu guru sedia maklum tentang perkara yang boleh dilakukan dan yang tidak boleh dilakukan. Tetapi dalam kes ini yang terjadi adalah sebaliknya.
Selain itu, punca berlakunya tingkah laku negatif dikalangan guru ini ialah mereka mempunyai masalah keluarga. Guru yang mengalami masalah keluarga contohnya penceraian mengalami tekanan dan emosi yang tidak stabil. Ini bermakna guru yang mengalami krisis rumah tangga ini tiada tempat untuk mengadu dan meluahkan perasaan kasih sayang. Hal ini menyebabkan guru tersebut mengambil  jalan mudah dengan melakukan gangguan seksual kepada anak muridnya sendiri bagi melepaskan tekanan yang dihadapi oleh mereka.
Menurut teori seksualiti menjelaskan bahawa perkembangan hidup dan tingkah laku manusia adalah didorong oleh kemahuan, kehendak dan kuasa seksualiti (Abd Rahim, 2003). Disini jelas menunjukkan bahawa seks adalah satu keperluan asas kepada orang dewasa dan cara manusia mencapai kehendak dan keperluan seksual pada umurnya mencorakkan perkembangan tingkah laku, sahsiah, emosi dan moral. Ini menunjukkan bahawa, masalah rumah tangga seperti penceraian menyebabkan keperluan seksual tidak dapat dipenuhi menyebabkan guru terbabit menjadikan murid sebagai tempat untuk melepaskan tuntutan seksual mereka.
Di samping itu juga, antara punca penyumbang kepada tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru tersebut ialah pengaruh media massa tidak kira media cetak atau media elektronik. Mengikut kajian yang dilakukan pengaruh media elektronik lebih banyak dari media massa kerana media elektronik mudah didapati dengan meluas tanpa sekatan. Pengaruh ini akhirnya mendorong guru tersebut melakukan perkara seumpama ini terhadap anak muridnya. Pengaruh media massa contohnya media cetak membolehkan guru tersebut mendapatkan bahan lucah melalui buku, majalah dan sebagainya dengan mudah seterusnya membuat gangguan seksual kepada anak muridnya.
Manakala melalui media elektronik seperti penggunaan internet, telefon bimbit dan sebagainya membolehkan bahan-bahan lucah mudah didapati dan mudah di layari berbanding medium yang lain. Ini menyebabkan guru tersebut mudah mendapatkan bahan bagi tujuan sedemikian. Oleh itu, apa yang dilihat dan dipelajari telah di aplikasikan ke atas murid. Sudah sedia maklum bahawa kes keganasan seksual kanak-kanak di luar negara semakin berleluasan dimana kanak-kanak dijadikan hamba seks. Dengan kata lain, guru tersebut telah meniru budaya tersebut yang diperolehi melalui media elektronik yang begitu banyak dewasa ini sehingga melakukan gangguan ini terhadap anak muridnya sendiri.
Tiada kesedaran agama juga adalah punca kepada tingkah laku negatif yang  dilakukan oleh guru tersebut. Kesedaran agama yang kurang terutama tentang hukum halal dan haram menyebabkan seseorang guru tersebut sanggup melakukan perkara terkutuk itu demi kepuasan mereka sendiri. Kesedaran agama yang kurang iaitu tidak menggunakan ilmu yang dipelajari  dengan sebaik mungkin menyebabkan guru tersebut tidak dapat membezakan yang mana betul dan yang mana salah. Guru tersebut juga tidak menjaga pergaulan beliau dengan anak muridnya dimana dia sanggup membuat gangguan seksual keatas anak muridnya sendiri. Di sini jelas menunjukkan perbuatan yang dilakukan oleh guru tersebut bukan mencerminkan beliau sebagai seorang muslim yang mengamalkan ajaran Islam dengan baik. Jika difikir kembali tidak mungkin akan berlaku kes seumpama ini jika guru tersebut mempunyai kesedaran agama yang tinggi serta takutkan balasan dari Allah SWT.
Selain itu, punca tingkah laku negatif ini ialah pengaruh pil peransang. Kebanyakkan kes yang melibatkan gangguan seksual ini sering kali dipengaruhi oleh pengambilan pil peransang seperti Viagra yang tidak terkawal dan dijual di pasaran secara terbuka.  Apabila pengambilan pil peransang secara tidak terkawal, keinginan seksual semakin meningkat menyebabkan berlakulah gangguan seksual keatas murid. Kebanyakkan guru lelaki yang tidak berkahwin atau telah bercerai yang menggunakan pil peransang ini akan cuba membuat gangguan seksual terhadap anak muridnya apabila teransang. Dalam situasi ini, guru tersebut hanya ingin memuaskan diri mereka tanpa mengira nasib yang akan menimpa anak murid apabila berkelakuan negatif seperti ini.
Tambahan lagi, punca yang menyebabkan tingkah laku negatif ini ialah tekanan kerja yang dihadapi menyebabkan guru tersebut mengalami stress yang tinggi. Mengikut Kyriacou (2000), stress guru merujuk kepada pengalaman guru terhadap emosi yang tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbingan, kemarahan dan kemurungan akibat daripada tugasnya sebagai guru. Bebanan kerja yang terlalu banyak, dimarahi oleh pihak pentadbir, disisihkan dan sebagainya adalah contoh tekanan kerja yang dihadapi oleh guru setiap hari menyebabkan guru itu tidak dapat berfikir panjang seterusnya mencari jalan lain untuk melepaskan tekanan yang dihadapi.  Guru terbabit menggangap, gangguan seksual yang dilakukan ini boleh mengurangkan tekanan kerja yang dihadapi namun kesan dari perkara itu lebih teruk dari apa yang dijangkakan. Selain itu, pengurusan tekanan yang tidak betul menyebabkan guru tersebut menggunakan murid sebagai alat untuk gangguan seksual bagi melepaskan tekanan yang dihadapinya.
3.0       Kesan Jangka Pendek Dan Jangka Panjang Kepada Guru, Profesion Perguruan Dan Pihak Lain (Sekirannya Terlibat)
Sekiranya masalah ini tidak dibendung dengan baik, mungkin masalah ini akan menular dengan lebih teruk lagi. Kesan dan akibat dari perbuatan tingkah laku guru yang negatif ini bukan sahaja akan tmemberi kesan kepada diri guru tersebut sahaja namun kesannya akan turut dirasai oleh mangsa gangguan seksual, guru-guru lain, sekolah, masyarakat dan sebagainya.
3.1 Guru
Antara kesan jangka pendek yang akan menimpa guru yang melakukan perbuatan ini ialah menyebabkan hubungan guru dan murid menjadi semakin rengang dimana semua murid membenci dan takut untuk menuntut ilmu dengan guru tersebut. Dalam situasi ini, murid berasa tidak selamat untuk meneruskan sesi pembelajaran. Selain itu, hubungan guru dan rakan sejawatannya juga akan musnah kerana mereka semua tidak lagi mempercayai guru tersebut selepas sekali melakukan perkara yang tidak senonoh. Guru tersebut akan mengalami tekanan emosi juga adalah kesan jangka pendek yang akan dihadapi dimana guru tersebut mungkin mengalami konflik jiwa yang serius akibat dari perbuatannya. Mengikut Terri Mauro (2004), terdapat banyak faktor yang berkait dengan gangguan emosi contohnya masalah ketidakfungsian otak, pemakanan dan masalah keluarga.
Di samping itu juga, keluarga guru yang terbabit dalam tingkah laku negatif ini mungkin akan mendapat kesan yang buruk contohnya mungkin keluarga beliau akan dibenci dan dicemuh oleh masyarakat. Ini menyebabkan keluarga beliau akan hidup dalam suasana yang tidak tenteram. Tambahan lagi, kesan jangka pendek yang akan menimpa guru tersebut ialah beliau akan hilang pekerjaan dan mata pencarian akibat dari perbuatan mereka yang tidak senonoh itu.
Kesan jangka panjang yang akan ditempuhi oleh guru tersebut ialah mereka tidak lagi diterima oleh masyarakat dimana masyarakat akan memandang serong kepada mereka.  Selain itu kesannya juga ialah guru tersebut akan dipindahkan ke sekolah yang lain bagi menjaga nama baik sekolah tersebut. Di samping itu juga, guru tersebut tidak ada tempat dalam masyarakat dimana beliau bukan lagi menjadi guru yang boleh dipercayai oleh masyarakat.
Kesan jangka pendek kepada guru lain ialah, masyarakat tidak lagi mempercayai bahawa guru dapat mendidik dan mengajar anak mereka menyebabkan tugas guru tidak lagi di pandang sebagai satu tugas yang mulia oleh masyarakat. Kesan daripada itu juga menyebabkan guru –guru walaupun mereka tidak bersalah akan diselubungi dengan perasaan malu terhadap masyarakat dengan tindakan yang dilakukan oleh rakan sejawatannya yang berkelakuan negatif.  Kesan jangka panjang kepada guru yang lain menyebabkan mereka sendiri tidak lagi berminat untuk meneruskan profesion ini lagi. Selain itu guru-guru yang lain tidak lagi mempunyai perasaan seorang pendidik jika masalah ini berleluasan.
3.2 Profesion Perguruan
Kesan jangka pendek dari tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru ini menyebabkan profesion perguruan ini dipandang rendah oleh masyarakat.  Masyarakat tidak lagi mempercayai kepada profesion perguruan sehingga menyebabkan profesion ini tidak lagi diperlukan oleh masyarakat. Selain itu, profesion perguruan tidak lagi dianggap mulia oleh masyarakat dimana mereka tidak lagi mempercayai bahawa profesion ini dapat membantu anak mereka untuk mendapatkan pendidikan yang selamat dan berkesan. Tambahan pula, profesion ini tidak lagi dihormati oleh masyarakat terutama ibu bapa dan murid-murid.
Manakala kesan jangka panjang kepada profesion perguruan menyebabkan generasi muda tidak lagi berminat untuk menjadi guru dan ini mengakibatkan profesion ini kekurangan genarasi muda yang berbakat untuk mendidik anak bangsa. Di samping itu juga, kesan dari ini kerajaan tidak lagi dapat melahirkan guru-guru yang berkemahiran dalam pelbagai aspek kerana kekurangan generasi muda yang ingin menceburi bidang ini. Mengikut Lilia dan Norlena (1998), penyusutan kuasa untuk menjalankan tugas secara professional menyebabkan profesion perguruan menurun di kaca mata masyarakat.
3.3 Sekolah
Kesan jangka pendek yang menimpa sekolah ialah reputasi sekolah  atau nama baik sekolah akan menurun menyebabkan masyarakat terutama ibu bapa tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah tersebut. Selain itu, sekolah tidak lagi dianggap sebagai institusi pendidikan yang memberi pendidikan yang berkualiti kepada murid-murid. Manakala kesan jangka panjang yang menimpa sekolah ialah sekolah dilabel sebagai tempat yang tidak bermoral kerana membiarkan masalah gangguan seksual berleluasan secara tidak terkawal.  
3.4 Ibubapa Dan Masyarakat
Kesan pendek dari kes ini menyebabkan hubungan ibubapa dan guru menjadi rengang dimana ibubapa tidak lagi mempercayai kredibilitui guru untuk mendidik anak mereka menjadi insane yang berguna.  Di samping itu juga, masyarakat akan memandang serong kepada semua pihak termasuklah guru dan pentadbir sekolah. Tambahan lagi, kesannya ialah ibubapa tidak puas hati dengan layanan guru terhadap anaknya.  Manakala kesan jangka panjang yang menimpa ibubapa dan masyarakat ialah mereka menyalahkan guru sehingga guru tersebut dibenci dan dicaci oleh masyarakat yang lain. selain itu, ibubapa membawa isu gangguan seksual ini kepada pihak atasan seperti polis dan peguam bagi mendapat keadilan bagi pihak anak mereka.
3.5 Mangsa Gangguan Seksual
Kesan jangka pendek yang dialami oleh mangsa gangguan seksual ialah mangsa lebih cenderung berdiam diri, bersendirian, murung dan sebagainya. Ini menyebabkan mangsa tidak lagi berminat untuk belajar sehingga prestasi mangsa menurun.  Tambahan pula kesan jangka panjang ialah mangsa gangguan seksual akan phobia dengan guru terutama guru lelaki. Kesan jangka panjang kepada mangsa ialah mangsa mengalami tekanan emosi dan jiwa yang tinggi sehingga mangsa cuba membuat perkara yang tidak diingini contohnya membunuh diri dan sebagainya.






4.0       Kod Etika Guru Yang Berkaitan
Kod etika ialah peraturan, adab kebiasan manusia dalam pergaulan antara satu sama lain dan aturan ini menegaskan apa yang benar dan apa yang salah. Kod etika guru adalah peraturan untuk membantu guru yang profesional agar mematuhi prinsip-prinsip yang termaktub demi menjaga imej profesion. Mengikut Nikki (2009) pula etika dianggap sebagai pedoman perilaku yang dikenal pasti berkaitan dengan tindakan manusia dalam bahagian tertentu manakala Bascom (2007) menganggap etika sebagai ilmu mengenai suatu kewajiban.
Antara fungsi kod etika ialah memberikan pedoman bagi setiap ahli dalam profesion mengenai prinsip profesionalisme yang dirangka. Ini bermakna setiap ahli yang juga guru sedia maklum tentang perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan. Fungsi kod etika juga ialah merupakan kawalan sosial untuk masyarakat atas profesion yang berkaitan. Ini bemakna bahawa etika profesion dapat menyediakan pengetahuan kepada masyarakat supaya lebih memahami kepentingan suatu profesion. Akhir sekali fungsi kod etika ialah membantu para profesional mencegah campur tangan pihak di luar organisasi profesion tentang hubungan etika dalam keanggotaan profesion.
Kod etika perguruan adalah pedoman dan panduan kepada guru dalam menjalankan tugas mereka dengan bertanggungjawab membimbing murid-murid untuk mencapai kemajuan sepenuhnya. Di dalam kod etika perguruan terdapat 4 tangggungjawab yang perlu dipatuhi dalam profesion ini iaitu tanggungjawab terhadap pelajar, tanggungjawab terhadap ibubapa, tanggungjawab terhadap masyarakat dan Negara serta tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion keguruan.
Berdasarkan isu tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru dalam kes gangguan seksual (mencium), kita dapati guru tersebut telah melanggar kod etika perguruan dimana beliau tidak menunjukkan tanggungjawab terhadap pelajar. Dalam kes ini sepatutnya guru tersebut mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar namun guru tersebut telah melakukan perkara yang sebaliknya terhadap pelajarnya. Kes seperti ini tidak seharusnya dilakukan kerana ia mencemarkan nama baik profesion ini sehingga menyebabkan murid tersebut tidak lagi selamat untuk melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran.
Selain itu, berdasarkan kod etika perguruan, guru sepatutnya bertanggungjawab dalam menunjukkan cara berpakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat memberi contoh. Dalam isu gangguan seksual ini, guru tersebut tidak bertanggungjawab dalam memberi contoh yang baik kepada murid dimana guru tersebut menunjukkan tingkah laku yang negatif dengan membuat gangguan seksual secara terangan ke atas murid dengan mencium murid tersebut.  
Di samping itu kod etika yang terlibat dalam kes ini ialah guru tidak harus bertingkah laku begitu rupa sehingga boleh mencemarkan sifat profesionalnya dan  akan menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai terhadap profesion perguruan. Tambahan lagi, guru haruslah menanamkan sikap yang baik terhadap semua muridnya supaya mereka dapat berkembang menjadi warga negara yang taat setia dan berguna. Ini berbeza dengan guru yang membuat gangguan seksual tersebut sehingga melakukan sikap yang tidak baik terhadap muridnya.
Demikian juga dengan kod etika bahawa guru haruslah bertugas sebagai 'pengganti ibu bapa' dalam usaha membentuk tingkah laku murid ke arah matlamat yang diterima oleh masyarakat, guru tidaklah harus menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh mengurangkan keyakinan diri murid dan ibu bapa terhadapnya serta guru tidaklah harus mengajar sesuatu yang boleh merosakkan kepentingan murid, masyarakat atau Negara. Kod etika ini jelas menunjukkan bahawa guru yang melakukan gangguan seksual tidak mengikut kod etika yang digariskan sebagai seorang pendidik. Secara kesimpulannya, kod etika yang menjadi panduan kepada semua guru tidak digunakan dan diamalkan oleh guru yang melakukan tingkah laku yang negatif tersebut.










5.0       Cadangan Mengatasi Tingkah Laku Guru Yang Negatif Tersebut
Gangguan seksual yang berlaku keatas murid ini bukannya penghujung kepada kes yang melanda masyarakat kita pada hari ini. Mungkin suatu hari nanti kes ini menjadi semakin serius jika tidak ditangani dengan segera. Tingkah laku yang negatif ini boleh dibendung jika masyarakat berkerjasama dalam menyelesaikan masalah ini.
Pendidikan merupakan satu kaedah yang terbaik untuk mengatasi tingkah laku guru yang negatif dimana melalui kaedah ini kita boleh membangunkan kesedaran guru tentang bahaya gangguan seksual yang dilakukan oleh mereka terhadap murid-murid. Kebanyakkan negara maju telah memperkenalkan pendidikan seks kepada semua masyarakat  bagi mendedahkan pelbagai isu dalam menimbulkan kesedaran mengenai gangguan seksual seperti diskriminasi seksual, hak asasi wanita, hilai-nilai baik dalam hubungan antara lelaki dan wanita, pencabulan, penderaan seksual dan sebaginya.  
            Justeru itu kerjaan atau badan bukan kerajaan perlu memainkan peranan yang penting dalam menyediakan pendidikan seks ini supaya dapat menyedarkan masyarakat khususnya guru-guru dalam mengatasi masalah tingkah laku yang negetif ini . Pendidikan seks bukan sahaja sesuai kepada murid, guru-guru dan masyarakat namun kepada pesalah gangguan seksual itu sendiri. Pendidikan seks ini bertujuan untuk memberi maklumat yang sebenar tentang kesalahan seksual yang dilakukan lebih-lebih lagi dilakukan kepada murid-murid. Di samping itu juga, pendidikan seks ini juga mengetengahkan implikasi dan kesan yang diperolehi oleh pesalah gangguan seksual jika mereka terus melakukan gangguan seksual kepada murid-murid.
Selain itu, bagi mengatasi masalah ini, kursus, ceramah atau bengkel  perlu dibuat bagi meningkatkan nilai-nilai dan tingkah laku yang teratur dan bertanggungjawab terutama yang melibatkan penjawat awam contohnya guru. Bagi mengatasi masalah ini hingga ke akar umbi, semua guru perlu menghadiri kursus yang dikendalikan oleh kerajaan bagi menyedarkan mereka tentang tanggungjawab sebagai pendidik. Nilai murini seperti kemanusiaan, kasih sayang, nilai moral, etika, tanggungjawab dan sebagainya perlu di terapkan ke dalam diri semua guru dalam kursus ini bagi menyedarkan mereka tentang kesalahan gangguan seksual  dari terus berlaku. Nilai hidup yang baik ini dapat memelihara mereka daripada melakukan gangguan seksual yang bertentangan dengan norma hidup yang perlu dipertahankan. Menurut Fullan (1993) menyatakan guru melibatkan diri secara produktif dalam proses perubahan, guru mempunyai tujuan moral yang dikaitkan dengan dengan tugas dan tanggungjawab mereka.
Selain itu bagi menangani masalah tingkah laku guru yang negative ini (gangguan seksual), kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) perlu menyediakan kemudahan khidmat kaunseling khususnya kepada murid-murid yang mengalami gangguan seksual serta guru yang melakukan gangguan seksual. Di setiap sekolah perlu diwujudkan khidmat bimbimbing dan kaunseling yang dikhaskan untuk guru bagi menangani isu gangguan seksual di mana khidmat ini dikendalikan oleh individu yang pakar dalam masalah ini. Khidmat bimbingan dan kaunseling ini bertujuan untuk membolehkan guru mendapatkan bantuan dan nasihat dari pakar kaunseling jika mereka terjebak dengan masalah ini. Menurut Shertzer dan Stone (1981) mengatakan bahawa bimbingan sebagai perkhidmatan membimbing individu yang memerlukannya untuk mencapai kefahaman, pengetahuan dan kemahiran tertentu.
Kuatkan undang-undang juga adalah satu jalan mudah yang boleh diambil bagi mengatasi tingkah laku yang negatif. Penguatkuasaan undang-undang yang melibatkan kes gangguan seksual dikalangan pendidik ini perlulah dibanteras dengan segera supaya kes seumpama ini dapat diatasi dengan segera. Penguatkuasaan undang-undang seperti penjara, sebatan, hukuman dan sebagainya perlulah dikuatkuasakan bagi mengatasi masalah ini dari terus berleluasan. Dengan adanya penguatkuasaan ini, tingkah laku negatif dikalangan guru mungkin dapat diatasi dan dibanteras dengan segera. Di samping itu juga, guru yang melanggar etika perguruan perlulah dilucut dari jawatannya. Ini dapat memberi pengajaran kepada guru-guru yang lain supaya tidak melakukan perkara yang tidak bermoral ini.

No comments:

Post a Comment