Apa dah Jadi - Sumber: myMetro - Kickstory

Latest

Just Another View With A DSLR

Wednesday, March 31, 2010

Apa dah Jadi - Sumber: myMetro

PEKAN: “Sudahlah didera dengan teruk sehingga cacat mental, dibicarakan pula dalam keadaan tidak waras, sebelum dihukum penjara sembilan bulan,” kata Abd Hamid Sulaiman, 64, menceritakan nasib anaknya yang didakwa didera di Kem Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Batu Kentomen, Kuala Lumpur.
Mangsa, Prebet Muhamad Zaini Abd Hamid, 28, kini sudah dihantar ke Hospital Mental Tanjung Rambutan Perak, selepas disahkan mengalami penyakit mental oleh Bahagian Psikatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Ia dipercayai berpunca daripada penderaan fizikal secara berterusan di kepala mangsa sepanjang lebih lima bulan berada dalam tahanan tentera sejak Ogos tahun lalu selepas ditangkap pihak Polis Tentera (MP) kerana tidak hadir bertugas tanpa cuti. Abd Hamid berkata, anaknya disahkan oleh HKL sebagai pesakit mental pada 29 Januari lalu, namun pada 5 Mac lalu dia tetap dibicarakan di Mahkamah Tentera dalam keadaan tidak waras manakala usahanya untuk menghadiri perbicaraan anaknya dihalang pihak RAJD.


“Saya tidak mempertikai sistem perundangan tentera, tetapi saya mohon hadir perbicaraan bagi mendengar sendiri dari mula bagaimana anak saya boleh melakukan kesalahan itu.


“Pada masa sama, sekiranya Muhamad Zaini sudah waras pada perbicaraan itu, saya sekeluarga ingin mengambil kesempatan mempertemukan dia dan dua anaknya kerana dalam pertemuan di hospital sepanjang dia dalam tahanan tentera, dia hanya diam dan termenung ketika dipanggil anaknya.


“Keadaan itu turut menyebabkan dua anaknya berusia dua tahun dan yang bongsu berusia 10 bulan tidak mengenali bapa mereka,” katanya.

Menurut Abd Hamid, keadaan bertambah kusut bagi kehidupan dua anak itu kerana isteri Muhamad Zaini kini dalam proses menuntut cerai manakala kedua-dua anak mereka ditinggalkan untuk dipelihara Abd Hamid di Kampung Pandan, Nenasi, dekat sini.


“Harapan untuk Muhamad Zaini kembali normal amat tipis kerana pada 16 Mac lalu, keadaan mentalnya semakin kritikal sehingga dikejarkan ke Unit Kecemasan HKL selepas diberi ubat berlebihan.


“Pada 19 Mac lalu, pihak HKL terpaksa memindahkannya ke Hospital Tanjung Rambutan untuk tempoh rawatan yang tidak diketahui berapa lama.


“Lebih menyedihkan saya sekeluarga apabila pihak RAJD memaklumkan sekiranya Muhamad Zaini kembali normal, dia akan dipindahkan pula ke Penjara Sungai Buloh, Selangor untuk menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan,” katanya.


“Saya merayu Kementerian Pertahanan menyiasat kes ini secara telus kerana saya yakin tindakan membicarakan pesalah ketika tidak waras, bukanlah suatu yang adil,” katanya.




1 comment:

  1. Kenapa tentera didera???pelik tetapi benar.....ni mesti tentera yang kena dera sampai gila ada menyimpan rahsia yg besar......apa2 hal, kita terjah n zassssssssssssssss dulu...

    ReplyDelete