Berhati-hati dengan sindiket penipuan Internet - Kickstory

Latest

Just Another View With A DSLR

Saturday, October 10, 2009

Berhati-hati dengan sindiket penipuan Internet

Orang ramai yang menggunakan internet untuk berkenalan dinasihatkan berhati-hati dengan sindiket yang cuba memperdaya dengan mengarahkan mereka mendepositkan wang bagi menuntut hadiah, kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata terdapat berbelas kes membabitkan mereka yang berkenalan menerusi ruangan sembang di internet diperdaya oleh kenalan siber mereka kononnya ada ole-ole dikirimkan melalui pos tetapi tidak dapat disampaikan kepada mereka kerana kiriman itu terkandas di pihak kastam ekoran cukai belum dibayar.

Sindiket itu kemudian mengarahkan kenalan mereka di Malaysia untuk mendepositkan sejumlah wang dan ada yang sehingga RM5,000 bagi menuntut hadiah berkenaan ke dalam akaun tertentu yang sebenarnya milik anggota sindiket yang menyamar sebagai pegawai kastam.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Pameran Pencegahan Jenayah di Universiti Teknologi MARA di sini hari ini, Khalid berkata pihaknya sedang mencari tiga lelaki Afrika kerana kes melarikan seorang budak lelaki warga Indonesia semalam.

Budak lelaki itu, bagaimanapun ditemui polis di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang awal pagi tadi ketika berlegar-legar di luar balai pelepasan dan kini disatukan dengan ibunya yang berumur 30-an.

Ibu dan anak itu dihantar ke Kedutaan Indonesia bagi diberi bantuan yang diperlukan, katanya.
Khalid berkata wanita itu mendakwa datang bersama anaknya ke KLIA untuk bertemu dengan kenalannya seorang warga Afrika dan mereka dibawa dengan kereta oleh kenalannya dan dua lagi warga Afrika semalam.

Bagaimanapun, setibanya di Kota Damansara wanita itu bertengkar dengan kenalannya lalu ditinggalkan di tepi jalan di sana manakala anaknya serta beg pakaian, komputer riba dan wang tunai US$900, beberapa ratus ribu rupiah dan sejumlah wang tunai ringgit Malaysia dibawa pergi tiga lelaki Afrika itu pada jam 9 malam tadi.

Khalid berkata pihaknya menerima laporan daripada wanita itu yang mendakwa kononnya beliau Setiausaha kepada Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono pada jam 1.30 pagi tadi.
Bagaimanapun, pemeriksaan dengan Kedutaan Indonesia, mendapati dakwaan wanita itu tidak benar.

Siasatan awal terhadap kanak-kanak itu mendapati beliau dibawa ke sebuah apartmen dan diberikan permainan "Playstation" sebelum dihantar dengan teksi ke KLIA. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan polis meminta pemandu teksi yang menghantar kanak-kanak itu ke KLIA supaya tampil membantu siasatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment